Syarikat, pengarah, akauntan bebas tuduhan gubah wang haram

Iklan
Antara tertuduh kes pengubahan wang haram berkenaan.

JOHOR BAHRU - Seorang pengarah, pengurus stor, akauntan termasuk sebuah syarikat makanan sejuk beku yang diwakili pengarahnya, dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram di Mahkamah Seksyen di sini pada Ahad.

Keputusan melepas dan membebaskan kesemua tertuduh itu dibuat Hakim Fatimah Zahari selepas pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan terhadap Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengurus stor, Chong Kim Kuang, 50, akauntan, Ng Yee Xin, 39 dan seorang lagi pengarah syarikat yang masih bebas, Tan Siew Huak, 44.

Iklan
Iklan

Pendakwaan berkenaan ditarik balik setelah kesemua tertuduh membayar kompaun berjumlah RM1.5 juta, namun pertuduhan terhadap Siew Huak tetap diteruskan sehingga mendapat arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara.

Pihak pendakwaan kemudiannya turut memohon tarikh sebutan semula yang singkat berikutan representasi peguam tertuduh yang mahu tahu apa status seorang tertuduh, Siew Huak, yang kini masih bebas.

Iklan

Dalam masa sama, tiga tertuduh melibatkan LY Frozen Sdn Bhd, Kim Kuang dan Siew Huak masih berdepan 21 pertuduhan lain membabitkan aktiviti memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu selain tidak mendapat kelulusan bagi membekalkan daging sejuk beku, Disember 2021 lalu.

Mereka didakwa melakukan aktiviti berkenaan di dua bank di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini, antara Oktober 2018 hingga Disember 2020, lalu.

Iklan

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam, Zamri Idrus.

Hakim Fatimah Zahari kemudiannya menetapkan tarikh 22 Februari 2023 sebagai tarikh sebutan kes.