Kertas cadangan struktur semula imigresen akan dihantar ke JPA

Iklan
Khairul Dzaimee melakukan lawatan ke BSI, Johor Bahru, pada Ahad, bagi meninjau peranan QRT.

JOHOR BAHRU - Jabatan Imigresen Malaysia sedang melakukan penstrukturan semula dalam usaha menjadi sebuah jabatan penguatkuasaan yang lebih kompeten dan cekap pada masa depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, kertas cadangan mengenai penstrukturan semula itu akan diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

"Langkah penstrukturan semula ini disokong penuh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Kita telah pun menghantar kertas cadangan itu kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Penyerahan itu perlu dikemukan oleh pihak kementerian. Datuk Seri Saifuddin Nasution menyokong penuh penstrukturan semula ini kerana akan mewujudkan peluang kerjaya yang lebih baik daripada segi kenaikan pangkat kepada pegawai imigresen dari skim Perkhidmatan dan Pertahanan Awam," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini pada Ahad, bagi meninjau keupayaan peranan Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT).

Menurutnya, langkah penstrukturan semula itu membolehkan pihak imigresen menarik bakat dan kakitangan baharu yang mempunyai kelulusan lebih tinggi pada masa akan datang.

Iklan

Khairul Dzaimee yakin usaha berkenaan juga bakal menarik minat umum untuk menyertai agensi penguat kuasa tersebut kerana mempunyai laluan kerjaya jangka panjang yang lebih terjamin.

"Berdasarkan pengalaman lalu, proses ini akan mengambil masa antara empat hingga enam bulan dan berharap mendapat kelulusan sekitar Julai dan dapat dilaksanakan pada tahun ini juga," ujarnya.

Mengenai keupayaan jabatan tersebut, beliau berkata, pada masa ini jumlah keanggotaan masih mencukupi walaupun terdapat beberapa anggota dipinjamkan dari bahagian lain untuk bertugas bersama QRT di BSI.

Jelasnya, itu hanya melibatkan empat atau lima anggota dan tidak menjejaskan peranan imigresen yang mengadakan operasi setiap hari memberkas pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Untuk tambah anggota perkhidmatan awam ini, ia melalui satu proses yang panjang dengan perlu memohon kepada JPA kemudian perlu dibawa cadangan itu kepada Menteri Kewangan.

"Buat masa ini, keanggotaan yang dimiliki masih mencukupi dan dapat menampung keperluan jabatan untuk berfungsi sebaiknya," ujarnya.