Kelemahan aplikasi MyJPJ diatasi sebelum pelancaran - Fahmi

Iklan
Fadzil - Foto Bernama (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian)

KUALA LUMPUR - Kelemahan keselamatan yang dikesan dalam aplikasi MyJPJ telah berjaya diatasi sebelum dilancarkan Jumaat lepas, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, CyberSecurity Malaysia (CSM) telah mengenal pasti kelemahan tersebut semasa proses pembangunan aplikasi itu.

Iklan
Iklan

"Pihak CSM telah melakukan saringan dan siasatan terhadap aplikasi MyJPJ, kita telah kenal pasti satu kelemahan yang tidak terlalu besar dan ia (kelemahan itu) telah dimaklumkan kepada Kementerian Pengangkutan.

"Saya tiada maklumat terperinci, tetapi sebelum digunakan secara meluas ia telah dikesan. Saya sendiri berhubung dengan Menteri Pengangkutan (Anthony Loke Siew Fook) dan perkara itu telah diselesaikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina bagi Parlimen Lembah Pantai di Taman Seri Sentosa di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menjawab kegusaran yang disuarakan pengguna mengenai keselamatan data peribadi dan aplikasi MyJPJ.

Pada Jumaat, Anthony mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan masing-masing yang berkuat kuasa serta-merta, sebaliknya hanya perlu menunjukkan dokumen tersebut melalui aplikasi berkenaan yang dibangunkan secara dalaman.

Anthony berkata, inisiatif itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan fasa pertama membabitkan kenderaan persendirian individu termasuk motosikal bagi warganegara.

Iklan

Dalam pada itu, Fahmi memaklumkan CSM juga telah digerakkan untuk untuk membuat pemantauan terhadap semua prasarana siber yang diguna pakai kerajaan, termasuk aplikasi dan laman web bagi mengurangkan kebarangkalian berlakunya pencerobohan.

"Dengan kepakaran CSM dan undang-undang yang lebih meluas, ini akan dapat membantu menjamin keselamatan siber rakyat, kementerian dan agensinya," katanya.

Berhubung isu keselamatan siber, beliau menyeru agar kerajaan di rantau Asia Tenggara untuk bekerjasama membendung jenayah siber yang bersifat rentas sempadan khususnya jenayah penipuan.

"Sejumlah daripada jenayah siber ini tidak berlaku dalam negara kita, maksudnya ada panggilan dibuat dari luar negara tapi mangsanya rakyat kita. Jadi, ini perlukan satu kerangka di peringkat ASEAN," katanya.

Menurut Fahmi, perkara tersebut telah dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3 (ADGMIN3) dan beberapa negara menyatakan sokongan untuk menyelaraskan protokol serta kerangka undang-undang bagi memudahkan siasatan dan tangkapan melibatkan jenayah siber. - Bernama