SHAH ALAM - Seramai 2.8 juta pengguna telah mendaftar aplikasi dalam talian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu JPJeID sehingga Ahad sejak capaian aplikasi itu diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
JPJ dalam hantaran di Facebook memaklumkan, aplikasi MyJPJ mencatatkan capaian 533,000 pengguna setiap satu jam.
Anthony Loke pada Jumaat mengumumkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) persendirian milik warganegara kini boleh menggunakan paparan digital melalui aplikasi itu.
Beliau turut menjelaskan orang ramai tidak akan disaman sekiranya tidak memuat naik aplikasi MyJPJ selain tidak dapat menunjukkan cukai jalan secara digital ketika penguatkuasaan dilaksanakan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Aedy Fadly Ramli yang mengadakan pemantauan ke JPJ Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keramat mendapati orang ramai menyambut baik inisiatif tersebut kerana ia menjimatkan masa.
"Pemantauan pada cuti umum bagi cawangan di UTC ini adalah untuk melihat sendiri pengoperasian kaunter dan promosi aplikasi JPJ kepada orang awam.
"Rata-rata orang awam yang hadir telah diberikan penerangan dan menyambut baik inisiatif tersebut yang disifatkan dapat menjimatkan masa dan mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ bagi urusan LKM atau cukai jalan, LMM dan yang berkaitan," kata JPJ dalam hantaran tersebut pada Ahad.
Aedy Fadly mengucapkan jutaan terima kasih di atas maklum balas orang awan berhubung isu dan masalah yang dihadapi melibatkan aplikasi MyJPJ dan pihaknya sedang berusaha menyelesaikan perkara itu bagi memberikan perkhidmatan terbaik.