Isham pertahan tindakan muat naik rakaman video

Iklan
Rakaman video yang dimuat naik Isham dalam laman Facebook beliau.

SHAH ALAM - Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Abdul Jalil mempertahankan tindakan beliau memuat naik rakaman prosiding perbicaraan hari kelima bekas Perdana Menteri itu di akaun Facebooknya.

Isham turut mempersoalkan sama ada terdapat dalam peraturan mahkamah menyatakan tidak boleh memuat naik transkrip rakaman mahkamah (CRT) perbicaraan awam di media sosial.

Iklan
Iklan

"Untuk pengetahuan mereka, terdapat dua perkara dalam peraturan umum mahkamah berkaitan rakaman semasa perbicaraan. Pertama, tidak boleh membuat siaran langsung atau live telecast ketika perbicaraan sedang berlangsung (kecuali dengan kebenaran).

"Kedua, tidak boleh merakam perbicaraan sendiri. Oleh itu dalam hal ini, saya ingin bertanya lagi kepada mereka di manakah yang saya bersalah menghina mahkamah seperti yang dikatakan mereka?" soalnya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Iklan

Isham juga mendakwa beberapa peguam yang menyokong PH tidak berpuas hati dengan perbuatannya itu membuat laporan polis kerana telah menghina mahkamah.

Sementara itu, Isham berkata, berdasarkan rakaman video yang dimuat naik beliau, tidak ada siaran langsung mahupun rakaman sendiri.

Iklan

"Video yang dimuat naik tersebut bukanlah siaran langsung tetapi adalah rakaman yang dibuat oleh mahkamah melalui CRT serta bukan oleh pihak lain.

"Rakaman CRT mahkamah dan rakaman video sendiri adalah berbeza. Apabila mahkamah merakam transkrip video CRT ia adalah tidak sama dengan orang lain merakam sendiri prosiding mahkamah," katanya.

Menurutnya, di United Kingdom (UK), CRT prosiding mahkamah dianggap seperti transkrip bertulis dan boleh didapati oleh orang ramai secara terbuka daripada Arkib Negara Britain (British National Archive).

"Di Malaysia, setakat ini tidak ada peraturan bertulis berkenaan siaran rakaman transkrip video CRT prosiding mahkamah. Saya pelik jika peguam-peguam PH ini tidak faham atau tidak tahu akan hal ini.

"Saya juga pelik kenapa mereka ini takut sangat apabila rakyat melihat video rakaman perbicaraan ini. Adakah peguam-peguam PH ini tidak mahu rakyat tahu atau lihat sendiri butiran perbicaraan Najib?" soalnya.

Menurutnya, perbicaraan kes Najib adalah satu pendengaran awam dan bukannya satu rahsia rasmi.

"Memandangkan kes ini adalah kes yang berprofil tinggi dan menarik perhatian umum, maka rakyat berhak diberikan peluang untuk mengikuti perbicaraan dengan terbuka atau dengan kekangan yang minimum.

"Sebelum ini ada pemimpin PH yang membocorkan rahsia rasmi kerajaan tetapi lepas begitu sahaja. Namun, apabila saya memuat naik video perbicaraan awam yang bukan rahsia, mereka tidak senang duduk pula," katanya.

Malah, katanya, sekiranya sebelum ini inkues mendiang Teoh Beng Hock boleh dibuat secara langsung, mengapa perbicaraan Najib tidak boleh pula.

"Tambahan lagi, inkues kematian Beng Hock lebih berisiko jika di siar secara langsung kerana mempunyai elemen emosi yang lebih tinggi berbanding kes SRC International Sdb Bhd," katanya.