Bukit Tinggi, Janda Baik dilanda banjir kilat

Iklan
Tangkap layar video kejadian banjir kilat di kawasan Bukit Tinggi, Bentong pada petang Ahad.

KUANTAN - Kawasan Bukit Tinggi dan Janda Baik, Bentong dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat pada petang Ahad.

Berdasarkan rakaman video kejadian yang ditularkan netizen di laman sosial Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.

Iklan
Iklan

Melalui rakaman video berdurasi 16 saat itu menunjukkan orang ramai cuba menyelamatkan kenderaan masing-masing bagi mengelak terperangkap dalam banjir tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman mengesahkan berhubung kejadian.

Iklan

Beliau bersama Ahli Dewan Undangan Ketari, Su Keong Siong ke lokasi selepas mendapat maklumat berhubung kejadian.

"Berdasarkan maklumat disampaikan Ketua Balai Polis Bukit Tinggi, arus air mulai perlahan bagaimanapun penduduk di kawasan itu diminta sentiasa berjaga-jaga," katanya melalui hantaran di Facebooknya.

Iklan

Sementara itu, seorang pengguna Facebook berkongsi informasi penutupan sementara jalan dari simpang Janda Baik menghala ke Genting Sempah dan dari simpang Janda Baik turun ke Bukit Tinggi akibat jalan rosak.

"Pengguna boleh menggunakan jalan alternatif simpang Janda Baik ke Sekolah Menengah Bukit Tinggi," katanya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pahang melaporkan Jalan Kuala Lumpur - Bentong (jalan lama) di lokasi 1.5 kilometer dari simpang Janda Baik ditutup sementara kepada semua kenderaan dari arah Genting Highlands ke Janda Baik ekoran jalan runtuh.

Runtuhan melibatkan laluan sepanjang 50 meter itu berpunca daripada kesan hakisan kepala air yang berlaku pada petang Ahad.