BUKAN mudah untuk mengendalikan kelab yang bersaing dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana cabarannya luar biasa.
Ia dibuktikan menerusi pemecatan jurulatih Southampton, Nathan Jones selepas hanya tiga bulan mengendalikan kelab tercorot liga itu.
Pengurus berusia 49 tahun itu melalui tempoh sukar selepas mengambil alih tugas pengurus November lalu susulan pemecatan Ralph Hasenhuttl.
Pengendali Wales itu bergelut untuk menawan hati penyokong yang tidak yakin dengan kekurangan pengalamannya di EPL.
Kekalahan 1-2 skuad kendaliannya kepada Wolves yang beraksi dengan 10 pemain pada Sabtu membuatkan Lembaga Pengarah Southampton terpaksa memecatnya.
Dalam satu kenyataan kelab bola sepak Southampton mengesahkan sudah tidak bekerjasama dengan pengurus pasukan utama, Nathan Jones.
"Jurulatih pasukan utama, Chris Cohen dan Alan Sheehan juga meninggalkan pasukan," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, jurulatih utama pasukan, Ruben Selles akan mengendalikan latihan dan menyediakan pasukan sebelum perlawanan menentang Chelsea minggu depan.
Kekalahan itu menyaksikan Southampton kekal di tangga tercorot liga setelah sekadar mengutip 15 mata daripada 22 perlawanan.