PEMINAT dan penyokong bola sepak tanah air perlu menjaga emosi termasuk di media sosial dengan mengelak daripada melakukan perkara yang boleh mengundang padah termasuk membuat ugutan bunuh.
Jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan berkata, sebagai warga yang baik, penggemar sukan popular itu perlu lebih beradab dengan tidak melepaskan geram secara sembarangan di media sosial.
"Satu senario baharu dalam kancah bola sepak negara. Kita sebagai orang dalam bola sepak juga tak seronok dengar.
"Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di sebalik isu tersebut, mungkin ada provokasi atau sebagainya kita tak pasti tetapi sebagai peminat perlu kawal emosi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Sinar Harian baru-baru ini melaporkan pemain import baharu Kelantan FC, Christian Mangaron Rontini menerima mesej ugutan bunuh di laman sosial Instagram.
Wan Jamak memberitahu, bola sepak adalah ‘satu seni’ yang dimainkan secara profesional berdasarkan corak persembahan tertentu mengikut cara jurulatih.
Namun, beliau berkata, peminat dan penyokong bola sepak adakala mahu permainan itu mengikut cara mereka sehingga mencetuskan satu perasaan termasuk melepaskan geram secara sembarangan.
"Kita nak tengok permainan yang dipamerkan dengan corak terbaik, bukan lepas geram apabila tidak puas hati. Bola sepak adalah satu seni.
"Boleh kritik tetapi perlu ada fakta. Tak molek dan tak manis apabila timbul isu-isu sebegini. Kritik perlu beradab,” ujarnya.
Dalam pada itu, individu yang didakwa melakukan ugutan bunuh terhadap Rontini sudah dikenal pasti seperti dimaklumkan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.
"Rontini akan dipanggil untuk statement (kenyataan) oleh pegawai penyiasat. Dari info, pengugut sudah dikenal pasti. Laju kerja polis,” tulis Norizam di laman Facebook miliknya.