Tuntung sungai semakin terancam

Iklan
Ahli Geng Tuntung, Mohd Nasir Abdul Hamid bersama tuntung sungai yang dipulihara di Pusat Penetasan Tuntung di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu.

KEMAMAN - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menjual atau memakan telur dan daging tuntung sungai bagi mengelak kepupusan reptilia tersebut yang kini dilihat semakin terancam.

Pengurus Projek Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS), Dylan Wang berkata, keadaan cuaca yang tidak menentu disebabkan musim tengkujuh menjejaskan lokasi yang dijadikan habitat untuk pembiakan haiwan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, khemah yang didirikan di tepi Sungai Pasir Gajah, di sini untuk mengawasi tuntung bertelur telah roboh akibat hujan lebat di Hulu Sungai Kemaman ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina lalu.

"Ketika musim tuntung bertelur, beberapa sukarelawan yang digelar 'Geng Tuntung' akan mendirikan khemah di persisir sungai itu untuk menjaga telur tuntung daripada dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Iklan

"Namun, banjir yang berlaku menyebabkan air sungai melimpah sehingga ke tebing dan menenggelamkan pasir sehingga menyukarkan tuntung untuk bertelur," katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Jelas beliau, keadaan sama turut berlaku pada tahun lalu sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kepupusan spesies reptilia tersebut.

Iklan

"Situasi sama turut berlaku pada tahun lalu apabila banjir berlaku ketika musim tuntung bertelur yang menjejaskan sarang haiwan itu.

"Kita bimbang, jika keadaan itu berterusan, tuntung sudah tidak mahu bertelur di kawasan ini lagi,” katanya.

Menurut Dylan, selepas air sungai mulai surut, Geng Tuntung yang memasuki semula ke kawasan pasir itu dan menemui sarang pertama yang mengandungi lapan biji telur.

Katanya lagi, bagi memastikan survival tuntung sungai, dia bersama penduduk Kampung Pasir Gajah khususnya akan melakukan kerja-kerja mengutip telur tuntung untuk dieram dan ditetaskan sebelum dilepaskan kembali ke sungai.

Ujarnya, setakat ini, lebih 4,000 telur berjaya ditetaskan dan dilepaskan sejak 2011.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menimbang berat dan mengukur saiz tuntung yang mendarat di samping melabel dan memasang mikrocip pada badan reptilia berkenaan.

Dylan Wang bersama telur tuntung sungai yang ditemui dan akan ditetaskan di Pusat Penetasan Tuntung di Kampung Pasir Gajah, Kemaman, Terengganu sebelum dilepaskan kembali ke habitat asal.

"Telur tuntung ambil masa tiga bulan untuk menetas. Biasanya, setiap tahun kita akan adakan acara pelepasan anak tuntung ke sungai secara besar-besaran, bagi meraikan kejayaan kita menetaskan spesies terancam ini.

"Setiap tuntung yang kami lepaskan akan dimasukkan mikrocip sebesar sebiji beras di bahagian kaki bertujuan untuk mengesan identiti tuntung tersebut.

"Bila tuntung naik bertelur, kami boleh tahu sama ada tuntung tersebut adalah tuntung yang kami lepaskan sebelum ini atau sebaliknya dengan membuat imbasan menerusi mikrocip yang berada di kaki mereka.

Dalam pada itu, Dylan berkata, aktiviti konservasi serta memupuk kesedaran masyarakat dilipat gandakan bagi memastikan kesinambungan spesies hidupan itu.

"Kita harap agar tuntung yang telah dilepaskan di sungai ini akan kembali naik bersarang dan bertelur di kawasan ini 20 tahun akan datang,” katanya.

Difahamkan, tuntung sungai atau nama saintifiknya batagur affinis tergolong dalam keluarga 'geoemydidae' iaitu dalam kelompok 25 jenis kura-kura yang hampir pupus di dunia dan kini hanya terdapat di di Malaysia, Thailand dan Kemboja.

Jelas Dylan, taburan tuntung sungai di negara ini hanya direkodkan di Kedah, Perak dan Terengganu dengan sebahagiannya di Sungai Kemaman (Pusat Penetasan Tuntung, Kampung Pasir Gajah) dan tapak pemuliharaan di Pusat Konservasi Tuntung di Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Pusat Penetasan Tuntung yang terletak di Kampung Pasir Gajah, Kemaman ditubuhkan pada 2011 untuk memelihara dan memulihara populasi haiwan tersebut dengan usaha sama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) serta penduduk kampung.

Pusat berkenaan dikenali di seluruh dunia apabila pengasas Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia (Turtle Conservation Society of Malaysia (TCS) Dr Chen Pelf Nyok atau lebih dikenali dengan panggilan Mek Tuntung yang merupakan rakyat Malaysia kedua menerima anugerah sijil pengiktirafan ‘Commonwealth Point Of Light’ yang disampaikan Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell di Kampung Pasir Gajah pada 2018.