CANBERRA - Menteri imigresen Australia, Andrew Giles pada Isnin mengumumkan kerajaan akan menunaikan komitmen pilihan raya untuk mengeluarkan visa tetap kepada beberapa pemegang visa sementara, lapor Xinhua.
Giles memenuhi janji pilihan raya dengan mempelawa kira-kira 19,000 pelarian yang tiba di Australia sebelum 2013 dan memegang dua jenis visa sementara untuk memohon sebagai pemastautin.
Langkah itu akan memberikan pelarian akses kepada keselamatan sosial, penjagaan kesihatan, skim insurans hilang upaya dan pinjaman pendidikan tinggi serta membolehkan mereka membawa ahli keluarga terdekat ke Australia.
Ketika mengumumkan perkara itu, Giles berkata tidak munasabah untuk mengekalkan orang yang bekerja, membayar cukai, menjalankan perniagaan dan menggaji warga Australia dalam keadaan tidak keruan kerana status visa mereka.
"Bagaimanapun, tanpa visa tetap, mereka tidak dapat memohon pinjaman untuk membeli rumah, membangunkan perniagaan atau melanjutkan pelajaran," katanya.
Namun, hanya pelarian yang tiba di Australia sebelum bermulanya Operasi Sempadan Negara - operasi perlindungan sempadan yang bertujuan untuk menghentikan ketibaan bot pencari suaka - layak untuk memohon sebagai pemastautin.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Clare O'Neil berkata kerajaan komited terhadap operasi yang sedang dijalankan dan sesiapa yang tiba di Australia dengan bot tidak lagi akan dibenarkan tinggal di negara itu.
"Jika anda cuba memasuki Australia tanpa visa yang sah, anda perlu berpatah balik atau dihantar balik ke tempat asal.
"...Pasukan Pertahanan Australia dan Pasukan Sempadan Australia sedang meronda perairan kami untuk memintas dan menghantar pulang mana-mana bot yang cuba masuk," katanya. - Bernama