SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal ditahan kerana membuat bising di Dataran Kemerdekaan di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 19 tahun itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Seksyen 9 selepas yang membuat pemantauan dan pemeriksaan kira-kira jam 12.20 tengah malam.
Menurutnya, rondaan dijalankan susulan aduan sekumpulan penunggang motosikal yang membuat bising di kawasan terbabit.
"Apabila anggota URB sampai, seorang lelaki dikesan membuat bising dengan bunyi ekzos kuat.
"Penunggang terbabit yang cuba melarikan diri kemudian terjatuh ketika cuba membuat pusingan sebelum ditahan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, suspek dan motosikalnya jenis Yamaha 125Z telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam untuk tindakan lanjut.
Katanya, sebanyak tujuh saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Motosikal suspek juga telah disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pada Isnin, tular di media sosial TikTok anggota polis menjalankan pemeriksaan dan menahan seorang lelaki di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 Shah Alam.