KUALA LUMPUR - Pemilihan MCA 2023 di peringkat cawangan dan bahagian akan diadakan di seluruh negara bermula April ini, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Chong Sin Woon.
Bagaimanapun, Sin Woon berkata, pemilihan di peringkat pusat akan diumumkan kemudian bagi mengelakkan kemungkinan pertindihan tarikh bagi beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tahun ini.
"(Pemilihan ahli) peringkat pusat kalau tidak ada apa-apa perubahan (tarikh), ia (pemilihan) akan adakan pada bulan September,” katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini.
Menurut Sin Woon, proses penamaan calon di peringkat cawangan seluruh negara akan diadakan pada 20 April bermula 5 petang hingga 8 malam manakala pemilihan melibatkan sayap Pemuda dan Wanita ditetapkan selama dua hari bermula 29 April.
Bagi proses penamaan calon di peringkat bahagian termasuk Pemuda dan Wanita pula, Sin Woon berkata, ia akan diadakan pada 1 Jun manakala proses pemilihan pula ditetapkan selama dua hari bermula 10 Jun.
Menurut Sin Woon, proses pemilihan parti dibuat mengikut Perkara 167 Perlembagaan MCA yang memperuntukkan ia mesti diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum.
Sin Woon berkata, satu Jawatankuasa Pemandu Pemilihan MCA 2023 telah dibentuk bagi memastikan kelancaran proses penamaan dan pemilihan yang diketuai olehnya.
Katanya, senarai ahli-ahli MCA yang layak mengundi akan diberikan kepada Pengerusi Perhubungan MCA di setiap negeri semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-74 di Wisma MCA pada 4 Mac ini.
Sin Woon berkata, pada hari tersebut Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan turut melancarkan sebuah buku berjudul ‘MCA dari Perikatan ke Barisan Nasional’ terbitan Pusat Kajian Sosial dan Ekonomi Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman.- Bernama