Rozman cadang pelantikan syarikat kendali pelabuhan ditangguh - Saksi

Iklan
Rozman Isli - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seorang bekas Ahli Lembaga Pengarah, Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa, Datuk Rozman Isli mencadangkan pelantikan Syarikat LP Multi Terminal Sdn Bhd sebagai pengendali operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan ditangguhkan kerana mengundang implikasi politik terhadap bekas Ahli Parlimen Labuan itu.

Zulkurnain Ayub, 62, berkata demikian ketika perbicaraan kes yang dihadapi Rozman, terhadap pertuduhan menggunakan kedudukan bagi mendapatkan suapan, di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Iklan
Iklan

Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata, Rozman yang juga bekas Timbalan Pengerusi LPL dan bekas Ahli Lembaga Pengarah LPL membuat cadangan itu kerana ketika kejadian, Pilihan Raya Umum ke-14 dijangka diadakan pada bulan Mei 2018.

"Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd (LLPM) tidak disyorkan sebagai pengendali pelabuhan ini dan ia akan memberikan kesan sama terhadap karier politiknya.

Iklan

"Saya dan seorang lagi ahli lembaga pengarah iaitu Datuk Raffi, menyokong cadangan itu,” katanya ketika membaca pernyataan saksi.

Bagaimanapun, Zulkurnain berkata, Rozman tidak membuat pengisytiharan bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam Syarikat LLPM malah gagal memberitahu bahawa bapa dan adiknya disenaraikan sebagai pemegang saham syarikat berkenaan.

Iklan

Katanya, LLPM kemudiannya diberikan kebenaran sementara sebagai pengendali operator Terminal Pelabuhan Merdeka Wilayah Persekutuan Labuan.

"Hanya kebenaran sementara dan ia tidak memberi harapan untuk dilantik menjadi pengendali operasi pelabuhan.

"LPL dan LLPM akan mengadakan satu perjanjian sewaan bulanan agar LLPM dapat mengutip kadar sewa untuk kawasan operasinya,” katanya yang juga bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu.

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Rozman, Zulkurnain bersetuju bahawa, keputusan untuk memilih syarikat yang akan mengendalikan pelabuhan merupakan keputusan bersama ahli lembaga pengarah LPL dan bukannya keputusan secara individu.

Muhammad Rafique mencadangkan, anak guamnya tidak mempengerusikan kesemua mesyuarat LPL yang diadakan sebanyak 22 kali.

Katanya, ada perbincangan menyeluruh sebelum keputusan bersama dicapai oleh ahli lembaga pengarah itu.

"Rozman yang mewakili LPL tidak menghalang iklan untuk mendapatkan pengendali pelabuhan kepada mana-mana syarikat yang berminat.

"Beliau yang mencadangkan proposal daripada syarikat luar serta memberi ruang kepada pihak lain,” katanya.

Meskipun Rozman tidak mengisytiharkan LLPM sebagai syarikat bapa dan adiknya, peguam itu mencadangkan, pemimpin Warisan initu menyatakan bahawa Syarikat LP Multi Terminal mempunyai potensi sebagai operator pelabuhan.

Zulkurnain menjawab ya dan bersetuju dengan kesemua cadangan tersebut.

Rozman, 59, sebagai pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi LPL, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat LLPM sedangkan, bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.

Prosiding bersambung Selasa dengan seorang lagi ahli lembaga pengarah LPL memberi keterangan.