SANDAKAN - Sebuah jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan ditubuhkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, hari ini.
Jelasnya, jawatankuasa itu akan melibatkan ahli Parlimen terpilih bagi melengkapkan Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai perkara sama.
"Kami (kerajaan Persekutuan) menyedari sebuah jawatankuasa melibatkan anggota Parlimen perlu bagi menjayakan pelaksanaan MA63.
"Pengerusi PSC itu nanti akan dijemput untuk menjadi anggota tetap Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyumbang kepada pelaksanaan MA63,” katanya selepas merasmikan Majlis Iltizam 2019 Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura 2 di sini.
Vui Keong melahirkan perasaan gembira terhadap DUN Sabah yang meluluskan usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan pada persidangan dewan itu baru-baru ini.
Beliau berharap langkah sama akan dituruti DUN Sarawak pada persidangan akan datang.
"Saya yakin DUN Sarawak akan mengambil langkah seperti DUN Sabah (menyokong pindaan).
"Saya juga akan berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu,” katanya.
Mengenai rakaman video prosiding perbicaraan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ditularkan, Vui Keong percaya mahkamah berkenaan akan mengambil tindakan terhadap individu yang memuat naik video itu ke laman media sosial Facebook.
"Yang mengecewakan ialah video yang dimuat naik itu bukan gambaran sepenuhnya yang berlaku dalam mahkamah dan telah memberi ‘sense of false hope’ kerana telah disunting pendek,” katanya.
Semalam, video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi, menjadi tular menerusi media sosial.- Bernama