KUALA LANGAT - Geng pecah premis perniagaan tumpas dalam serbuan di daerah ini dan Klang pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, bertindak hasil maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat bersama Balai Polis Telok Panglima Garang menahan dua suspek pada jam 5 petang di Sungai Kapar, Klang.
Menurutnya, soal siasat suspek kemudian membawa penahanan tiga lagi suspek kira-kira jam 6.30 petang di Telok Panglima Garang.
"Semakan mendapati suspek masing-masing memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan mendapati geng berkenaan dipercayai aktif sejak dua bulan lalu.
Katanya, kesemua suspek berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berlainan, tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 28 hingga 33 tahun diberkas pada 3 Februari lalu selepas memecah masuk sebuah gudang di Telok Panglima Garang.
"Suspek yang bersenjatakan pedang samurai, pemotong besi dan playar ditahan kira-kira jam 4 pagi selepas polis menerima panggilan daripada pengurus gudang.
"Kesemua suspek yang positif dadah itu disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958," katanya.