KUALA LUMPUR - Parti Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) menyerahkan sumbangan kelengkapan menguruskan jenazah untuk mangsa gempa bumi di Turkiye kepada badan bukan kerajaan (NGO) negara itu, Yunus Emre Institute di Ampang di sini.
Ketua Pemuda Berjasa, Fahmi Bazlan berkata, bantuan kemanusiaan dan barangan asas sangat diperlukan berikutan angka kematian mangsa gempa bumi di negara berkenaan terus meningkat.
Menurutnya, antara barangan diperlukan termasuklah kain kapan untuk membantu pihak hospital di Turkiye menguruskan jenazah mangsa dengan lebih sempurna.
"Selain barangan keperluan lain bekalan kain kapan antara yang amat diperlukan dan Berjasa mengambil inisiatif menyumbang kain kapan bagi keperluan mangsa di sana.
"Semua barangan ini akan diterbangkan ke Turkiye hari ini melalui Kedutaan Turkiye," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut lebih 30,000 nyawa dengan kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/