SHAH ALAM- Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023 telah menerima satu aduan berkaitan kesalahan tataetika yang dilakukan oleh bakal calon.
Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Ab Samad berkata, aduan mengenai salah laku calon yang melanggar tataetika perlembagaan UMNO itu diterima meskipun proses pendaftaran belum bermula.
"Walaupun awal-awal lagi kami sudah terangkan bahawa tataetika itu sesuatu yang akan menjadi sempadan bagi kelakuan setiap calon pada Sabtu, saya telah sudah menerima aduan tentang salah laku calon.
"Walaupun calon ini belum lagi mendaftarkan diri, tetapi semua mengetahui beliau ingin menjadi calon.
"Jadi, segala keputusan tentang salah laku ini akan disegerakan oleh Lembaga Disiplin UMNO,” katanya sebagaimana dilaporkan portal UMNO Online.
Tegas Shahrir, mereka yang berhasrat untuk menawarkan diri seharusnya memahami segala tataetika yang telah ditetapkan dalam perlembagaan UMNO.
Jelasnya, dalam perlembagaan UMNO, ada bahagian tataetika untuk ahli dan ia berkuat kuasa dalam tempoh pemilihan yang bermula daripada 1 Februari lalu.
"Jadi, tidak ada apa-apa sebab bagi mana-mana calon sengaja melanggar tataetika ini. Kita bertanding, menawarkan diri untuk jawatan-jawatan dalam parti. Maka, sebagai calon sepatutnya kita sudah memahami perlembagaan parti.
"Jika tidak tahu, maknanya dia tidak layak untuk menawarkan diri bagi apa-apa jawatan dalam parti,” ujar beliau.
Tambahnya, JPU akan bertindak tegas untuk segala salah laku yang dilakukan oleh calon-calon bagi pemilihan kali ini.
"Saya harap mana-mana calon, janganlah fikirkan ini keadaan biasa kita nak ‘sedekah’, beramah mesra, menolong kawan-kawan dan sebagainya.
"Sebenarnya, tidak ada sebab calon tersebut melakukan apa-apa kesalahan yang dilarang terutamanya dari segi menggunakan wang, sogokan dan sebagainya.
"Kita akan bertindak tegas. Dalam proses siasatan, kita akan panggil pengadu dahulu dan kemudian orang yang melakukan kesalahan tersebut,” katanya.