KEPALA BATAS - Seramai 1,000 pelajar dari 21 sekolah di negeri ini menerima bantuan awal persekolahan sebanyak RM250 setiap seorang yang disumbangkan Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, sumbangan diberikan bagi meringankan beban ibu bapa terdiri daripada golongan B40, sekali gus membantu dalam melakukan persiapan bagi menghadapi pembukaan sesi persekolahan baharu tidak lama lagi.
Menurutnya, sebanyak RM250,000 diperuntukkan secara keseluruhan yang mana yayasan menyediakan bantuan baucar RM250 kepada setiap murid dan pelajar.
"Baucar yang diberikan boleh digunakan di mana-mana enam cawangan terpilih Mydin Wilayah Utara," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Educare Kembali Ke Sekolah di Mydin Bertam, di sini pada Isnin.
Hadir menyampaikan baucar berkenaan, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Rozali berkata, baucar itu membolehkan setiap penerima membeli dua pasang uniform, kasut sekolah, stoking, beg, alat tulis serta peralatan persekolahan.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana, Nabilshah Kamaluddin, 16, bersyukur kerana dapat melakukan persiapan awal bagi menghadapi sesi persekolahan akan datang.
"Terima kasih kepada pihak yayasan kerana memberi sumbangan kepada para pelajar dan membantu meringankan ibu bapa kami.
"Walaupun seronok kerana cuti sekolah bakal bermula, saya turut teruja untuk memulakan persekolahan Mac nanti,” katanya.
Bagi K Ane Poorni, 13, pula, dia turut gembira serta seronok kerana kali pertama menerima bantuan persekolahan
"Dengan bantuan ini, mudahlah untuk ibu bapa saya buat persediaan kerana hanya perlu tebus baucar bagi mendapatkan kelengkapan baharu persekolahan,” katanya.