KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kilang berputih mata selepas wang simpanan RM120,000 yang sepatutnya digunakan sebagai deposit untuk ubah suai rumah lebur akibat terpedaya dengan sindiket penipuan skim simpanan 'Sapiza Saving Extra' (SSE).
Wanita yang dikenali sebagai Ani, 36, berkata, dia mula melabur dalam skim itu pada Oktober lalu.
"Saya turut melakukan pelbagai kerja lain termasuk perkhidmatan e-hailing, selain bekerja di sebuah kilang.
"Saya mula menyimpan duit itu sejak empat tahun lalu, sebelum melabur dalam skim itu," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), di sini baru-baru ini.
Wanita yang berasal dari Pulau Pinang itu berkata, dia bersengkang mata untuk mengumpul jumlah wang tersebut.
Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia mula terjebak dengan skim simpanan SSE itu sejak Disember 2021.
"Saya mengetahui skim simpanan SSE ini melalui kenalan yang mengiklankan di status WhatsApp. Pembayaran wang kepada peserta sejak 2021 hingga Julai tahun lalu 'lancar'.
"Namun Ogos tahun lalu, bayaran dijanjikan lewat dengan alasan had transaksi dan sebagainya, hinggalah Oktober terus sepi," katanya yang kerugian RM40,000.
Pada Ahad, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan lapan individu termasuk dalang utama sindiket penipuan skim simpanan SSE dalam serbuan berasingan di empat negeri sejak 27 Januari lalu.
Setiausaha Polis Malaysia PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dilaporkan berkata, tangkapan dibuat dalam serbuan di sini, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan, hasil siasatan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).