Misi bantuan kemanusiaan berlepas ke Turkiye, Syria

Iklan
Petugas Syria Care menyampaikan bantuan pek makanan panas kepada mangsa yang terkesan dengan gempa bumi di Kampung Betia, Barat Idlib, Syria. Gambar kecil: Muaz

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kumpulan pertama Misi Kecemasan Gempa Bumi Syria-Turkiye akan mula berlepas pada malam Isnin bagi membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi yang melanda sempadan Syria-Turkiye.

Pengurus Besar Syria Care, Muaz Abd Muein berkata, misi selama 16 hari itu disertai 11 petugas, terdiri daripada empat wakil Syria Care; enam wakil Pertubuhan Bantuan Perubatan Kecemasan (TEMS) merangkumi doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih dan paramedik serta seorang wartawan Sinar Harian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kumpulan itu akan turut membawa kira-kira 200 kilogram barang dan ubat-ubatan untuk diserahkan kepada mangsa gempa bumi di lokasi terjejas.

"Kita mempunyai empat objektif utama dalam misi kali ini, antaranya menyediakan penempatan sementara kepada mangsa-mangsa tragedi yang kehilangan rumah. Pasukan kita di sana sebenarnya telah digerakkan sejak hari kedua lagi dan menyediakan penempatan untuk mangsa.

Iklan

"Selain itu, bantuan yang kita terima juga akan digunakan untuk membaik pulih rumah yang boleh dibaiki. Ketiganya, pasukan kita sediakan makanan yang siap dimasak untuk mangsa-mangsa yang ditempatkan di penempatan sementara.

"Pasukan kami turut membawa ubat-ubatan, bantuan perubatan serta paramedik. Mereka juga ada kepakaran untuk mencari kerana di Syria, mereka kekurangan peralatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Jelas Muaz, di Turkiye, mereka akan ke Gazientep dan Hatay manakala di Syria, kumpulan itu akan ke Jenderes, Al Bab Utara Aleppo; Kampung Betia, Barat Idlib; Aqrabat (mangsa dari Jindires) dan Al-Zouf, pinggiran Barat Idlib.

Bagaimanapun katanya, pihaknya menjangkakan 10 hari akan diperuntukkan ke Syria memandangkan tidak banyak bantuan yang disalurkan ke negara itu, berbanding di Turkiye.

Sementara itu, wakil Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha yang juga Ketua Unit Premium Content akan turut menyertai misi bantuan kemanusiaan itu.

"Misi kali ini bagi saya amat mencabar kerana berpeluang untuk menyaksikan sendiri ‘kebinasaan’ daripada gempa bumi. Selain melaporkan misi bantuan, saya juga akan menyelami nasib dan impak kejadian terhadap masyarakat di sana.

"Selain berdepan dengan cabaran mencari mangsa yang masih tertimbus, tentu sekali kita tertanya-tanya bagaimana mereka akan memulakan kembali kehidupan di sebalik kemusnahan yang berlaku,” jelasnya.

Sementara itu, jumlah terkumpul Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care untuk Turkiye dan Syria telah mencecah RM76,420.24 setakat Isnin.

Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.

Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/