BENTONG -"Sampai tak tidur malam tadi sebab risau, kali pertama tengok banjir lumpur teruk macam semalam," kata penduduk Kampung Bukit Tinggi di sini, Kam Kok Leong, 87, selepas banjir kilat berlumpur yang berlaku pada Ahad.
Warga emas itu turut menyatakan rasa takut dan terkejut melihat keadaan air deras bersama lumpur hingga memasuki kawasan halaman rumahnya.
"Saya sampai takut fikir kalau-kalau tanah runtuh berlaku," kata pekebun sayur itu lagi yang tinggal di kampung tersebut sejak turun-temurun pada Isnin.
Dalam laporan Sinar Harian pada Ahad, sebanyak 15 premis perniagaan dan lima rumah terbabit dalam kejadian banjir berlumpur di Bukit Tinggi dan Janda Baik, di sini susulan hujan lebat.
Berdasarkan rakaman video kejadian yang ditularkan netizen di laman sosial Facebook menunjukkan arus deras turun dari kawasan tinggi hingga membanjiri kawasan rendah di pekan Bukit Tinggi.
Sementara itu, bagi peniaga sayur-sayuran pula, Karlina Rosida, 50, memberitahu beliau tidak menyangka banjir lumpur berlaku di lokasi tersebut.
"Pada mulanya, saya ingatkan tiada apa-apa sebab hujan lebat satu jam pun.
"Bila dah lihat air laju, baru sedar banjir rupanya dan nasib baik barang jualan diletakkan di tempat tinggi, selamat daripada terkena air," katanya yang sudah lebih 20 tahun berniaga di lokasi tersebut.
Seorang lagi peniaga, Cheng Pei Seng, 43, berkata, kejadian tersebut merupakan kali pertama banjir kilat tersebut berlaku sepanjang lebih 10 tahun beroperasi di lokasi tersebut.
Jelasnya, situasi tersebut juga menyebabkan jumlah pelanggan merosot pada Isnin berbanding kebiasaan.
"Mungkin pelanggan takut nak datang bila tahu kejadian semalam (Ahad) dan situasi ini memang beri tekanan kepada kami semua," tambah Pei Seng.