SHAH ALAM - Isteri dan anak berhak untuk mendapatkan harta peninggalan suami melalui pembahagian faraid berdasarkan peratusan yang telah ditentukan oleh hukum syarak.
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, hukum faraid bertujuan memastikan keadilan terlaksana dan kehidupan keluarga yang ditinggalkan dapat diteruskan seperti biasa dan tidak berlaku kezaliman selepas itu.
"Hukum faraid telah ditentukan oleh hukum syarak berdasarkan al-Quran dan hadis.
"Sebelum pembahagian faraid, isteri juga berhak menuntut harta sepencarian terhadap harta arwah suami sekiranya ia diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan.
"Waris-waris lain tidak wajar menafikan atau menidakkan hak isteri tersebut kerana ia adalah perkara yang telah ditentukan oleh syarak (faraid dan harta sepencarian),” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kes tuntutan faraid melibatkan balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau Hidayah dengan Pelawak, Ali Puteh yang masih belum selesai.
Baru-baru ini, Hidayah melalui laman sosial berkongsi rasa sedihnya gara-gara tidak dibenarkan masuk ke rumah peninggalan suaminya dan mendakwa rumah itu turut kelihatan terbiar.
Bagaimanapun, Ali menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa rumah berkenaan kini dijaga oleh adiknya yang tinggal sementara di situ sehingga kes selesai.
Ali turut memberitahu, beliau tidak boleh menyerahkan kunci rumah kepada kakak iparnya disebabkan rumah itu masih dalam kes tuntutan faraid.
Dalam pada itu, Musa berkata, pihak yang sepatutnya menerima pembahagiannya boleh memfailkan tuntutan di mahkamah syariah sekiranya harta pusaka tersebut telah dibolot atau digunakan oleh waris lain.
"Selain itu, sekiranya harta pusaka tidak dibahagikan mengikut kadar sepatutnya, maka waris yang dinafikan haknya itu boleh menuntut ia dikembalikan dan dibahagikan kepada waris yang berhak,” tambahnya.
Mengulas lanjut mengenai tujuan dan kepentingan faraid, Musa menjelaskan, dalam keadaan tertentu, waris lelaki akan menerima harta lebih daripada waris perempuan.
Menurutnya, ia bukan bertujuan untuk membolot harta tetapi disebabkan mereka bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada keluarga.
"Hak diberi seiring dengan tanggungjawab iaitu suami kepada isteri, bapa kepada anak-anak, anak lelaki kepada ibu bapa dan datuk kepada cucu. Begitulah peraturan ALLAH SWT.
"Selain itu, kaum lelaki iaitu abang juga bertanggungjawab kepada adik perempuan atau bapa saudara kepada anak saudaranya yang sudah menjadi anak yatim.
"Hak pusaka wanita adalah untuk dirinya sendiri dan mereka tidak bertanggungjawab untuk menanggung pihak lain.
"Anak arwah yang telah menjadi yatim perlu meneruskan kehidupannya sehingga dia dewasa dan dapat berdikari," tambahnya.