BENTONG - Kerajaan negeri Pahang akan meneliti punca utama kejadian banjir lumpur yang berlaku di Kampung Bukit Tinggi di sini, termasuk kemungkinan berlaku aktiviti penerokaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan laporan awal, ia disebabkan oleh hujan lebat dan longkang tersumbat.
"Untuk selesaikan masalah, kita kena tahu punca. Bila dah tahu punca, kita akan ambil tindakan.
"Seperti yang saya maklum tadi, mengikut laporan diterima menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Daerah, puncanya ialah hujan lebat dan berkaitan dengan longkang.
"Jadi, bagi kejadian semalam, punca utama yang dilaporkan ialah hujan lebat selama satu jam bermula jam 5.30 hingga 6.30 petang, berserta hujan renyai-renyai selama empat jam," kata beliau.
Wan Rosdy berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa di Kampung Bukit Tinggi di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan untuk jangka pendek, kerajaan negeri meluluskan sebanyak RM200,000 serta-merta untuk membaiki longkang-longkang yang tersumbat dan sebagainya.
"Bagi menyelesaikan masalah ini daripada berulang, kerajaan negeri bakal membina sebuah jambatan di Jalan Bentong-Kuala Lumpur Lama berdekatan persimpangan Janda Baik yang bernilai antara RM4 juta hingga RM5 juta," katanya.
Jelas Wan Rosdy, jambatan baharu perlu dibina bagi mengelak kejadian berulang berbanding dibaiki semula, namun ia akan mengambil masa untuk disiapkan.