BALIK PULAU - Jururawat yang maut dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon pada pagi Isnin dikatakan berulang-alik dari rumahnya di sini ke Hospital Bertam sejauh 100 kilometer (km) setiap hari sejak September tahun lalu.
Suami arwah, Syukur Zainol, 29 berkata, isterinya, Allahyarham Norliana@Norsyazwani Roslan, 29, berulang-alik dengan menggunakan motosikal kerana hanya mempunyai lesen kenderaan itu.
Menurutnya, arwah isterinya ke Bertam, Kepala Batas kerana menyambung kursus Diploma Lanjutan Kebidanan di sebuah kolej kejururawatan di situ.
"Rumah kami di Sungai Pinang di sini dan sebelum ini, arwah bertugas di Jalan Perak namun terpaksa ke Bertam kerana menyambung kursus kebidanan.
"Pengajian kursus itu dijangka tamat pada minggu ini," katanya pada Isnin.
Kata Syukur, arwah isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah menjalani rutin harian seperti biasa.
"Walaupun sedih dengan kehilangan isteri tercinta, saya reda dengan ketentuan Illahi. Arwah seorang yang pendiam tetapi penyayang terhadap saya dan dua anak kami berusia lima tahun dan lapan bulan," katanya.
Dalam kejadian pagi Isnin, seorang anggota polis dan jururawat maut apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung dalam satu kemalangan di Jalan Tun Sardon, di sini pada jam 6.45 pagi Isnin.
Norliana@Norsyazwani disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kira-kira jam 9.30 pagi kerana kecederaan parah pada kepala dan perut.
Sementara itu, Koperal Muhammad Zohair Dzulkefle, 44, yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pula meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah.
Difahamkan, ketika kejadian, Muhammad Zohair datang dari arah Relau menghala ke Balik Pulau manakala Norliana yang bertugas di Hospital Bertam dari arah rumahnya iaitu Balik Pulau.
Jenazah Norliana dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang di Balik Pulau selepas proses bedah siasat selesai dijalankan.