SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob menzahirkan rasa terharu terhadap titah penghargaan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
"Saya terharu dengan titah Tuanku pada pembukaan Penggal Kedua Parlimen ke-15 hari ini yang memberi titah penghargaan kepada kerja keras sebelum ini, hingga negara kita muncul menjadi yang terbaik di Asia Tenggara kini," dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Ujar Ismail Sabri, perkara itu bagaimanapun bukan datang dari hasil usaha sendiri sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai pihak.
"Ia adalah berkat kerja keras, muafakat dan keyakinan setiap jabatan dan institusi, serta ketekunan setiap Keluarga Malaysia pada tahun-tahun sebelum ini sejak bangkit dengan gahnya dari pandemik Covid-19," katanya.
Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Seri Paduka Baginda turut bertitah mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen supaya menumpukan usaha dalam memastikan kestabilan yang diimpikan semua dapat dicapai sepenuhnya.
Dalam pada itu, Ismail dalam hantaran itu mendoakan kesejahteraan terhadap Seri Paduka Baginda yang merupakan tonggak utama kepada negara.
"Negara yang bernaung di bawah kebijaksanaan Tuanku ini akan terus menapak gagah di tangga-tangga kejayaan andai dipimpin oleh tangan yang cintakan kejayaan, serta memelihara perlembagaan dengan penuh ketekunan dan juga integriti," kata beliau.