KUALA LUMPUR - Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Selangor, disebabkan henti tugas sementara empat Loji Rawatan Air (LRA) berikutan insiden pencemaran bau di Muka Sauk LRA Rantau Panjang sejak malam Sabtu lepas, telah pulih 99 peratus setakat 6 petang Isnin.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, bekalan air di Petaling, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor, telah pulih sepenuhnya manakala pemulihan di Klang dan Shah Alam pada tahap 94 peratus.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, gangguan air di 12 kawasan di Wilayah Klang masih belum pulih sepenuhnya dan kerja-kerja pemulihan sedang giat dilakukan.
"Bekalan air di Wilayah Klang dijangka pulih sepenuhnya 6 pagi Selasa. Tempoh pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain, bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Air Selangor turut menyarankan pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih, sebelum digunakan untuk kegunaan harian.
Pengguna yang telah mendapat bekalan air juga diharap menggunakan air secara berhemah, bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.
Insiden pencemaran bau di Muka Sauk LRA Rantau Panjang menyebabkan LRA Rantau Panjang, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 dihenti tugas sejak malam Sabtu (11 Februari), namun kesemua loji berkenaan telah kembali beroperasi sepenuhnya pada keesokan paginya. - Foto Bernama