PENGANJURAN Piala MFL yang dilangsungkan buat pertama kali mulai musim ini boleh membuatkan pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, E Elavarasan ‘rambang mata’ untuk memilih pemain berkualiti.
Ini kerana kejohanan itu memberi peluang yang lebih besar kepada barisan pemain muda tempatan untuk mendapatkan minit permainan menerusi perlawanan kompetitif.
Penganalisis sukan, Rizal Hashim berkata, kejohanan itu membuka peluang buat Elavarasan untuk membentuk skuad yang mantap menerusi kelompok pemain yang besar.
"Pemain-pemain B-23 yang berada dalam sistem liga bola sepak tempatan berpeluang mencatat minit permainan lebih tinggi, sekali gus meluaskan kelompok pilihan buat Elavarasan bagi membentuk skuad yang padu untuk tahun ini.
"Adalah lebih baik pemain pada usia ini beraksi di pentas yang kompetitif berbanding memanaskan bangku simpanan dalam pasukan senior,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Menerusi format Piala MFL yang menjadi platform kepada pemain B-23, semua pasukan boleh mendaftarkan lima pemain senior tempatan melebihi umur (lahir sebelum tahun 2000).
Mengulas lanjut, Rizal berkata, skuad B-23 negara bakal berdepan jadual padat pada tahun ini kerana akan mengharungi dua temasya sukan dan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Justeru katanya, Elavarasan boleh memilih kelompok pemain terbaik untuk membentuk pasukan teras yang bakal menggalas cabaran ke pentas Sukan SEA 2023 Kemboja, Sukan Asia 2022 Hangzhou dan Kelayakan Olimpik 2024.
"Statistik menunjukkan bahawa hanya beberapa pasukan di Liga Malaysia (Liga-M) menggunakan khidmat pemain muda sebagai teras pasukan masing-masing sepanjang 2021-2022,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mewujudkan Liga Simpanan yang dianjurkan sebagai pembuka tirai saingan Liga Perdana sekitar tahun 1990-an.
"Kemudian satu ketika peraturan FAM menetapkan syarat seorang pemain berusia 21 tahun dimestikan untuk beraksi dalam kesebelasan utama bagi memberi ruang kepada pemain muda beraksi di pentas tertinggi.
"Namun, syarat ini tidak bertahan lama disebabkan jurulatih lazimnya mahu meletakkan pemain terbaik dan paling berpengalaman bagi memburu kemenangan,” ujarnya.
Terdahulu, Elavarasan telah menyenaraikan 25 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula Selasa hingga 19 Februari ini sebagai salah satu siri persiapan bagi menghadapi Sukan SEA 2023 Kemboja Mei depan.