Ambil positif usaha pendigitalan urusan JPJ

Iklan
Pegawai JPJ, Nor Hayati Zainudin menunjukkan aplikasi MyJPJ yang diperkenalkan sebagai Inisiatif Pendigitalan Perkhidmatan Teras JPJ di Kementerian Kewangan pada Jumaat. - Foto Bernama

APABILA Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan pemilik kenderaan persendirian tidak lagi perlu memaparkan cukai jalan dan lesen memandu secara fizikal, ia menjadi perdebatan hangat rakyat Malaysia.

Ada yang menyambut baik, tidak kurang mempersoalkan keberkesanan aplikasi MyJPJ yang dibangunkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memudahkan orang ramai memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Iklan
Iklan

Pembaharuan itu sudah tentu mahu memudahkan rakyat Malaysia. Tetapi pengumuman menteri itu mendapat pelbagai reaksi termasuk kecaman, lebih-lebih lagi aplikasi MyJPJ tidak dapat berfungsi pada hari pertama akibat trafik yang sangat tinggi.

Tidak kurang yang berpendapat penggunaan digital menyusahkan terutama bagi warga emas yang tidak tahu menggunakan telefon pintar.

Iklan

Oleh kerana timbul banyak persoalan, tidak sampai 24 jam, Anthony sekali lagi terpaksa memberi penjelasan menerusi Facebook bahawa aplikasi MyJPJ itu bukanlah wajib, sebaliknya salah satu opsyen bagi mendapatkan salinan digital untuk cukai jalan dan lesen memandu.

Bagi warga emas yang tidak tahu menggunakan telefon pintar atau capaian internet, masih boleh mendapatkan cukai jalan dan lesen memandu secara fizikal di kaunter JPJ.

Iklan

Menurut Anthony, inisiatif berkenaan dijangka dapat mengurangkan 80 peratus kesesakan ketika memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

Kementerian Pengangkutan juga dijangka dapat melakukan penjimatan kira-kira RM96 juta setahun dan boleh digunakan untuk menaik taraf pendigitalan dalam JPJ.

Selain itu, orang ramai boleh menjimatkan masa ketika memperbaharui lesen masing-masing dan tidak perlu membayar caj kepada pihak ketiga bagi penghantaran pelekat secara fizikal.

Malah, pelekat cukai jalan sebelum ini pun pernah mengundang rungutan ramai kerana didakwa tidak berkualiti, cepat rosak dan tidak tahan lama sekiranya ditanggalkan. Sisa gam pelekat itu turut merosakkan cermin kereta apabila ditanggalkan.

Sememangnya lumrah bagi satu-satu perubahan yang hendak dilakukan, pasti ada yang mengkritik.

Namun pembaharuan seperti ini perlu diteruskan supaya negara tidak ketinggalan daripada arus teknologi pendigitalan.

Kalau tidak mula sekarang, sampai bila-bila pun kita masih di takuk lama. Teruskan sahaja, usah pandang ke belakang.