SHAH ALAM - Rancangan untuk menarik minat kaum lain menyertai sektor awam perlu diberi keutamaan berbanding menggesa kerajaan mereformasikan sektor tersebut daripada didominasi oleh satu kaum.
Presiden Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia (GBPM), Gupreet Singh berpandangan, anak muda masa kini sudah menunjukkan minat untuk menyertai sektor awam kerana faedah yang diberikan lebih baik untuk masa akan datang selain tawaran keseimbangan kehidupan dan pekerjaan.
"Trend peralihan minat daripada (bekerja) sektor swasta ke awam sedang berlaku secara besar-besaran ketika ini kerana faedah yang ditawarkan seperti cuti tahunan, keselamatan pekerjaan dan perkhidmatan kesihatan lebih baik berbanding sektor swasta.
"Jika sebelum ini ramai anak muda minat dengan kerja swasta kerana gaji lumayan, namun kini keadaan sudah berubah.
"Mereka lebih minat kepada faedah jangka panjang dan inilah sebenarnya perkara yang perlu diberi perhatian khusus tentang bagaimana menarik minat mereka, bukan menggesa perkara tidak penting,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwanya didominasi oleh orang Melayu.
Bagaimanapun Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menegaskan, pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon seperti yang ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
Selain itu, SPA juga tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Hindudharma Malaysia (Maamandram), A Radhakrishnan berpandangan, tiada amalan ‘double standard’ kaum dan bangsa dalam pengambilan kakitangan penjawat awam ekoran terdapat ramai individu selain Melayu menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan.
"Diakui sememangnya jawatan tertinggi dalam perkhidmatan awam ada melibatkan kaum lain, ramai. Namun kita tetap berharap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya selepas ini lebih ramai masyarakat lain (selain Melayu) di ambil kira (dalam jawatan).
"Memang sudah lama isu ini (menjadi pertikaian), tetapi kalau dilihat dari segi statistik (dan) peratus (jumlah penjawat awam), kita tahu statistik itu kurang (berbanding orang Melayu), mungkin kerana tidak ramai yang minat ‘masuk’ kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, Radhakrishnan turut berharap perkara tersebut tidak terus diperbesarkan dan meyakini sistem pengambilan kakitangan penjawat awam adalah berdasarkan merit dan kelayakan.
"Mempunyai penjawat awam daripada pelbagai latar belakang kaum mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam sistem pentadbiran kerajaan, maka jangan rosakkan ia dengan perkara yang tidak baik.
"Walaupun isu ditimbulkan bukan untuk against (menentang) kerajaan, tetapi perlu dipertimbangkan juga,” ujarnya.