Hidup lebih sukar selepas kemalangan

Iklan
Zainab tidak mampu bekerja dipercayai akibat kecederaan tulang belakang selepas terbabit dalam kemalangan pada September lepas.

ALOR SETAR - Seorang warga emas dari simpang Makam Diraja Langgar, di sini, tidak mampu bekerja dipercayai akibat kecederaan tulang belakang selepas terbabit dalam kemalangan pada September lepas.

Menurut Zainab Ismail, 60, dia yang tinggal bersama suami dan anak lelakinya sebelum ini memperoleh gaji lebih kurang RM900 sebulan sebagai pembantu katering, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Zainab berkata, kehidupannya berubah selepas ditimpa kemalangan jalan raya berhampiran Jalan Teluk Wanjah, di sini, ketika menunggang motosikal bersama suaminya hingga menyebabkan dia terpaksa terbaring di katil sahaja.

"Selepas menjalani beberapa rawatan, saya kini sudah mampu duduk untuk melipat pakaian ataupun mengambil barangan namun dalam tempoh beberapa minit sebelum terbaring semula di katil.

Iklan

"Jadi suami, Jelani Said, 64, akan menguruskan saya terlebih dahulu seperti mandi dan menukar lampin pakai buang sebelum dia keluar bekerja," katanya ketika ditemui di rumah sewanya pada Isnin.

Zainab memberitahu, anak perempuannya yang tinggal berasingan biasanya akan datang untuk membantu dirinya melakukan urusan lain seperti membeli makanan ataupun memberi ubatan pada waktu tengah hari.

Iklan

Bagaimanapun, kata Zainab, dia adakalanya enggan menyusahkan anak yang memiliki keluarga sendiri apabila cuba untuk memasak ataupun ke bilik air sendiri.

"Apabila larat, saya akan cuba secara perlahan-lahan bergerak ke dapur menggunakan kerusi roda ataupun tongkat, sambil duduk saya akan cuba memasak sebarang makanan.

"Bagaimanapun, saya tidak dapat melakukannya dalam tempoh lama sebelum kembali berehat di atas katil sahaja," katanya.

Disebabkan masalah kesihatan itu, menurut Zainab, dia kini sudah tidak mampu bekerja sejak lima bulan lepas, sekali gus terpaksa bergantung kepada pendapatan suami, manakala anak lelakinya, Mohd Zakri, 25, pula bekerja sebagai pengawal keselamatan sahaja.

"Pendapatan diperolehi tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup kami sekeluarga termasuklah kos sewa rumah, bil air dan elektrik serta barang keperluan harian.

"Wang berkenaan juga digunakan untuk membeli barangan keperluan seperti lampin pakai buang, jadi memang adakalanya tidak cukup," katanya.

Menurut Zainab, dia tidak berhasrat meraih simpati sesiapa namun memerlukan bantuan untuk meringankan bebanan ditanggung selepas kemalangan terbabit.

"Sebelum kemalangan, kehidupan kami baik-baik sahaja namun selepas saya tidak mampu bekerja maka pendapatan kami makin berkurangan," katanya.

Sementara itu, mana-mana pihak yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0210941100017695 atas nama Zainab Ismail.