SEPANG - Bantuan yang disalurkan kepada mangsa gempa bumi di Syria terlalu sedikit menyebabkan Misi Kecemasan Gempa Bumi Syria-Turkiye lebih memfokuskan pertolongannya kepada negara tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki berkata, oleh kerana itu, misi bantuan tersebut akan ‘berkampung’ selama 10 hari daripada 16 hari secara keseluruhan di sana.
Menurut beliau, masih terdapat ramai lagi mangsa yang tertindas disebabkan tidak mempunyai peralatan khas untuk mengeluarkan individu yang ditimbus bangunan runtuh.
"Bagi yang selamat, mereka hanya dapat duduk di pusat penempatan sementara yang hanya menggunakan khemah plastik. Jadi, kita akan cuba untuk bantu ini.
"Kita kena sedar di sana sekarang adalah musim sejuk dan suhu boleh turun sehingga kosong darjah celsius. Jadi, mereka amat memerlukan bantuan,” katanya kepada Sinar Harian semasa majlis pelepasan delegasi Syria Care ke Syria dan Turkiye.
Menurut beliau, misi tersebut disertai 11 petugas terdiri daripada tiga wakil Syria Care; tujuh wakil Pertubuhan Bantuan Perubatan Kecemasan (TEMS) merangkumi doktor, penolong pegawai perubatan, jururawat terlatih dan paramedik serta seorang wartawan Sinar Harian.
Tambah Siti Sakinah, bantuan kali ini memfokuskan kepada perubatan memandangkan hospital di Syria mempunyai kekurangan terhadap kemudahan itu.
"Kita bawa doktor dan paramedik yang mana akan bantu mereka. Ini antara tugas besar yang kita bawa dan ia berlainan daripada pihak lain yang turut datang memberikan bantuan.
"Ini kali pertama Syria Care bawa kumpulan perubatan,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Komander TEMS, Mohd Faizal Burhanudin berkata, pasukan tersebut akan sedaya upaya memberikan pertolongan yang terbaik di sana.
Menurutnya, perubatan merupakan bantuan terpenting yang perlu diberikan memandangkan ramai mangsa mengalami kecederaan.
"Memang teruja dan bersemangat. Walaupun kekurangan dana untuk pergi ke sana, kami cuba sedaya upaya pergi ke sana bagi memberikan bantuan,” katanya.
Wakil Sinar Harian, Nurul Riduan Nor Ashaha yang juga Ketua Unit Kandungan Premium pula berkata, beliau akan sedaya upaya melaporkan gambaran sebenar terhadap bencana yang berlaku.
"Selain melaporkan misi bantuan, saya juga akan menyelami nasib dan impak kejadian terhadap masyarakat di sana,” ujarnya.
Tambahnya, orang ramai juga boleh mengambil bahagian dalam misi tersebut dengan menyalurkan derma kepada Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care.
Setakat Isnin, tabung yang dilancarkan itu telah mencecah sehingga RM140,000.
Mereka yang ingin menyumbang, boleh salurkan sumbangan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf Sdn Bhd, 564276-529068.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/