SEORANG peniaga bangkit kembali untuk memulakan perniagaan yang ditinggalkan sejak hampir setahun lalu selepas kaki kirinya dipotong akibat jangkitan kuman.
Khairul Faideli Che Rahim, 45, dari Tepoh, Kuala Nerus berkata, dia memulakan kembali perniagaan apron terpakai atau bundle sejak Disember tahun lalu.
"Saya rasa 'down' sangat selepas kaki kiri terpaksa dipotong. Emosi saya terganggu. Sensitif, mudah sedih dan saya ambil masa yang agak lama untuk benar-benar pulih.
"Apabila memikirkan faktor ekonomi dan sebagainya saya kembali bangkit untuk memulakan kembali perniagaan walaupun dalam keadaan berbeza iaitu menjadi orang kurang upaya (OKU).
"Sekarang sudah beberapa bulan saya menjual apron bundle secara langsung. Saya bawa apron ini dari sebuah kedai ke sebuah kedai makan di sekitar Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Kuala Nerus dan beberapa kawasan lagi," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Khairul Faideli dibantu Rosila Abdul Rahman, 41, bagi memastikan urusan perniagaannya berjalan lancar.
Khairul Faideli berkata, apron bundle yang dijual pada harga serendah RM5 hingga RM15 itu mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pelanggan.
"Setakat ini sambutan diterima memberangsangkan. Dalam seminggu apron bundle ini terjual sehingga 100 kilogram (kg). Saya tidak dapat pastikan berapa helai kerana kita ambil dalam bentuk 'ketul' (guni) bundle.
"Pernah juga dalam sehari apron ini cepat habis dan kita boleh dapat sekitar RM500 sehari," katanya yang mendapat bekalan apron bundle dari Kedah.
Menurutnya, perniagaan itu akan dikembangkan lagi dan dia berhasrat untuk membuka sebuah stor bagi menyimpan barangan yang diniagakan itu.
"Sebelum ni saya berniaga barangan bundle di Kuala Berang dan Bukit Payong.
"Sekarang, selain hantar ke kedai-kedai makan saya juga aktif berniaga berdekatan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSA) di Kuala Nerus.
"Saya biasa berada di situ pada hujung minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu," katanya.