KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri yang turut memegang jawatan Menteri Kewangan bukan menjadi masalah selagi jawatan-jawatan itu tidak disalah guna.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, beliau bertekad akan menggunakan segala usaha untuk mengelakkan perbuatan rasuah berlaku di negara ini di bawah kerajaan pimpinannya.
Iklan
Iklan
"Dalam sejarah, sama ada kita gabung atau tidak (jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) bukan masalah.
"Masalahnya adalah menggunakan kedudukan untuk rompak harta rakyat dan ini terpakai dalam banyak kalangan, sama ada belah sini (kerajaan), belah sana (pembangkang)," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada tindakan memegang jawatan Perdana Menteri dan pada masa sama Menteri Kewangan akan membuka ruang kepada berlakunya pelbagai skandal kewangan seperti yang berlaku sebelum ini.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, walaupun pelbagai persepsi dibuat terhadapnya, beliau akan menghalang rasuah terus berleluasa.
Katanya, pada masa sama mana-mana individu yang terpalit rasuah harus merasa tertekan dan bimbang dengan tekad Kerajaan Perpaduan untuk memerangi rasuah berkenaan.