'Isu lantikan Nurul Izzah perlu dijadikan teladan'

Iklan
Mahdzir Ibrahim

JOHOR BAHRU - Apa yang berlaku terhadap anak sulung Perdana Menteri, Nurul Izzah Anwar sehingga melepas jawatan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menjadi peringatan dan pengajaran, kata Timbalan Ketua Penerangan Gerakan Tanah Air (GTA), Mahdzir Ibrahim.

Mahdzir berkata, walaupun tindakan tersebut dipercayai bagi meredakan situasi, nasi sudah menjadi bubur kerana kepercayaan rakyat terhadap Anwar sudah terhakis.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ini kerana amalan nepotisme dilihat sudah pun dimulakan dalam Kerajaan Perpaduan dengan melantik anak beliau sendiri.

"Dalam konteks ini, kita bercakap tentang institusi, maka apa itu institusi? Geoffrey M Hodgson, seorang Profesor Emeritus dalam Journal Economic Issues menyatakan bahawa"..institutions as systems of established and prevalent social rules that structure social interactions...." Bermaksud, institusi sebagai sistem aturan sosial yang mapan dan lazim yang menyusun interaksi sosial.

Iklan

"Memahami maksud 'institusi' yang dinyatakan ini, dengan jelas kita dapat memahami bahawa ia berkait langsung dengan urusan awam apatah lagi ia melibatkan institusi dalam kerajaan yang mana ia tak terpisah dengan isu integriti.

"Dalam situasi ini, bagaimana institusi awam atau kerajaan boleh diyakini dan dilihat berintegriti oleh penjawat awam serta rakyat jika etika tidak diutamakan khususnya berkaitan elemen nepotisme dalam kepimpinan," soalnya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada Ahad, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) memaklumkan tidak lagi berkhidmat sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada bapanya.

Keputusan tersebut dibuat selepas bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu diundang menyertai Sekretariat Jawatankuasa Penasihat bagi membantu usaha mereka dalam memperkukuh ekonomi negara dan rakyat.

Sekretariat itu diketuai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Sebelum ini pelbagai pihak mempersoalkan pelantikan tersebut yang dilihat amat bertentangan dengan perjuangan Anwar sebelum itu yang lantang melawan amalan nepotisme, kronisme dan rasuah.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, menolak amalan nepotisme bukan dengan hanya dengan retorik kata-kata tetapi perlu dilaksanakan.

"Itulah integriti dalam kepimpinan politik. Begitu lama persepsi dijual merata-rata mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad mahu menjadikan anaknya Perdana Menteri, semuanya kini lebur apabila Dr Mahathir sendiri keluar dari parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)," katanya.

Malah katanya, pada zaman bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu, Dr Mahathir tidak pernah lantik mana-mana daripada anaknya menduduki sebarang jawatan dalam kerajaan dan semuanya dibuat selepas beliau bersara.

Katanya, dinukilkan dalam riwayat, Khalifah kedua Islam, Saidina Umar Al Khattab melarang keras anaknya menjadi khalifah sesudahnya.

Sikap itu katanya, kerana Umar memahami tugas dan amanah seorang khalifah itu cukup berat dan institusi kekhalifahan bukan warisan.

"Maka ruang untuk orang seperti Abdullah Umar menjadi khalifah sungguhpun beliau juga sahabat nabi yang warak, tetap tidak mudah apatah lagi ramai sahabat baginda yang lebih mulia, alim dan warak masih hidup.

"Ini berbeza dengan sistem politik moden yang mana undi menjadi kaedah untuk memilih pemimpin. Doktrin demokrasi membuka ruang luas kepada semua hatta kepada bekas banduan untuk bertanding dan menjadi pemimpin," katanya.