Kerajaan tumpu kurangkan impak kelembapan ekonomi global

Iklan
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan bertindak memperkukuh kedudukan fiskal negara melalui peningkatan hasil dan rasionalisasi perbelanjaan termasuk subsidi lebih bersasar, mengenal pasti sumber pertumbuhan baharu serta melaksanakan reformasi struktur ekonomi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini dapat mengurangkan impak kelembapan ekonomi dunia yang diunjur agak perlahan pada 2023 dan dijangka memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Iklan
Iklan

"Kerajaan berusaha merencana model ekonomi negara yang lebih terarah melalui pelaksanaan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, akademia dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO).

"Di samping itu, kerajaan turut memberi tumpuan kepada sektor-sektor berpotensi seperti sektor pelancongan dan pertanian,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Iklan

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai saranan serta tindakan afirmatif Majlis Tindakan Ekonomi Negara dalam merencana model ekonomi lebih terarah bagi mengurangkan impak kelembapan ekonomi dunia pada tahun ini.

Mengulas selanjutnya, Rafizi berkata, kerajaan turut memberi fokus terhadap usaha menambah baik tadbir urus khususnya pelaksanaan projek-projek kerajaan dengan mengkaji dan merangka kembali tahap kecekapan dari segi nilai ekonomi supaya pelaksanaannya dapat dipercepat selain menjimatkan kos.

Iklan

"Penekanan turut diberi kepada usaha meningkatkan pelaburan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, menangani inflasi dan juga memastikan pelaksanaan gaji minimum yang akan memberi manfaat kepada golongan pekerja.

"Kementerian ini sedang dalam proses penyediaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 dan semua strategi dan inisiatif yang berkaitan akan diperincikan dalam dokumen tersebut,” katanya. - Bernama