SEREMBAN - Lelaki warga Indonesia dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret Seremban pada Selasa atas tuduhan mencabul kehormatan seorang wanita, awal bulan ini.
Majistret Mohamad Ibrahim Mohammad Ghulam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Larto, 33, yang bekerja sebagai pembantu klinik haiwan selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.
Menurut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan kekerasan jenayah kepada seorang wanita berusia 22 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan dengan cara meraba kemaluannya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah klinik haiwan di Dataran Centrio, Seremban 2, di sini dari jam 11.39 pagi hingga jam 11.47 pagi pada 3 Februari lalu.
Berikutan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, P A Krishnaveni memberitahu mahkamah bahawa tertuduh sudah insaf dan memohon maaf kepada wanita berkenaan dan keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman dan Nik Nur'Aqilah Syarfa Nik Zaidi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesan dialami mangsa dan jenis kesalahan dilakukan.
Mohamad Ibrahim dan Mohd Firdaus masing-masing menjatuhkan hukuman penjara tujuh dan enam bulan dari tarikh sabitan.
Menurut fakta kes, ketika mangsa bekerja di klinik berkenaan, mangsa secara tiba-tiba didatangi tertuduh yang dikenali dari arah belakang sebelum meraba bahagian sulitnya sebelum mangsa menepis tangan tertuduh.
Tertuduh beredar, namun datang semula dengan mengulangi perbuatan sama dan mangsa menepis tangan tertuduh untuk menjarakkan diri sebelum tertuduh keluar.
Mangsa yang ketakutan membuat laporan polis.