Kedah cadang bina stadium ragbi

Iklan
Muhammad Sanusi (tiga dari kanan, barisan belakang) bergambar bersama atlet angkat berat yang menerima ganjaran SUKMA baru-baru ini.

ALOR SETAR - Kedah akan menyediakan lebih banyak kemudahan sukan yang berpotensi dibangunkan serta dapat menyumbang pingat dalam semua peringkat pertandingan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara perancangan termasuk membina stadium ragbi berikutan Kedah antara tempat yang melahirkan ramai pemain ragbi berbakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengenal pasti tapak dan lokasi bersesuaian bagi pembinaan stadium ragbi pertama untuk melengkapkan kemudahan sukan di negeri ini.

"Saya meletakkan sasaran untuk bangkitkan semula beberapa sukan yang dilihat sering melahirkan atlet berbakat, malah ada yang mewakili peringkat kebangsaan atau lebih tinggi.

Iklan

"Saya dapati sebahagian besar atlet dari Kedah bermain dengan pasukan negeri lain. Contohnya, sukan ragbi dibarisi sebahagian besar anak Kedah tetapi mereka merupakan pemain pasukan lain termasuk peringkat kebangsaan,” katanya di sini pada Selasa.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun Kedah antara negeri yang memiliki kemudahan sukan terbaik, namun masih ada beberapa sukan belum lengkap kemudahannya termasuk ragbi.

Iklan

Beliau berharap Kedah akan menjadi negeri yang bukan sahaja melahirkan atlet-atlet terbaik negara dalam pelbagai acara, tetapi turut menyumbang kepada Kedah.

"Majlis Sukan Negeri (MSN) Kedah perlu beri perhatian perkara ini, janganlah kita hanya lahirkan atlet yang begitu ramai namun akhirnya mereka mewakili negeri lain. Ibarat Kedah menjadi tapak semaian, hasilnya dituai orang lain di petak yang lain, rugilah kita,” katanya lagi.

Tambah Muhammad Sanusi, kerajaan negeri melalui MSN Kedah akan membangunkan acara sukan melalui pembangunan program pelapis Sukan Malaysia (SUKMA) yang dimulakan sejurus tamatnya SUKMA 2022.

"MSN diberikan peruntukan sekitar RM8 juta dalam bajet tahun lepas untuk pengurusan dan pembangunan sukan.

"Kita akan beri tumpuan kepada beberapa sukan sebab untuk raih pingat yang banyak dalam acara perlukan perbelanjaan tinggi. Bermula daripada projek tunas sekolah, program latihan dan infrastruktur, kemudahan, kejurulatihan serta teknik pemakanan, semua itu menyumbang kepada pencapaian dalam sukan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, antara sukan yang melahirkan ramai atlet Kedah ialah berbasikal, angkat berat, skuasy, badminton dan silat.

"Contoh, Johor terkenal dengan acara kenu. Mereka beri tumpuan untuk sukan berkenaan dengan bina infrastruktur dan berbelanja besar menghantar atlet berlatih di Hungary. Tentulah pendedahan dan teknik dari luar negara lebih baik.

"Kita berlatih di Ampang Jajar saja. Atlet kenu kita berlatih di tasik di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang ada kemudahan dan kelengkapan,” ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, walaupun sukan berbasikal antara yang menyumbang pingat emas terbanyak dalam SUKMA termasuk mewakili peringkat kebangsaan, namun kos menyediakan kemudahan sukan tersebut agak tinggi.

"Tidak semua negeri mampu bina kemudahan velodrom. Kemudahan itu ada di Nilai, Negeri Sembilan. Bukan murah untuk bina kemudahan itu. Sekiranya kita mahu bina untuk beberapa pemain, tidak berbaloi, kita tumpang berlatih di Nilai. Atlet kebangsaan pun dilatih di sana,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mengumumkan ganjaran sebanyak RM98,000 kepada atlet yang menyertai kejohanan ParaSUKMA.

Sebelum ini, seramai 80 atlet SUKMA dan 18 jurulatih menerima insentif masing-masing, menerusi 16 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa.

Atlet yang meraih pingat emas menerima ganjaran sebanyak RM3,000, diikuti RM2,000 bagi pingat perak serta pingat gangsa RM1,000.