Bayi tiga bulan maut, bapa cuai didenda RM10,000

Iklan
Seorang bapa yang menyebabkan kematian bayi lelakinya berusia tiga bulan, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa yang menyebabkan kematian bayi lelakinya berusia tiga bulan, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Amirul Hakim Muhamad Fadzil, 27, dikenakan hukuman itu semasa prosiding untuk mendengar fakta kes dan hukuman, di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Iklan
Iklan

Tertuduh boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin tanpa cagaran sebanyak RM5,000 selain diperintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam bermula Selasa.

Pada prosiding 31 Januari lalu, Amirul Hakim mengaku cuai kerana menyebabkan kematian anaknya itu, akibat kecederaan di kepala, semasa berada di sebuah rumah di Flat Sri Langkawi, Gombak di sini, pada jam 4.15 petang, 3 Januari lalu.

Iklan

Mengikut fakta kes, paha kanan bayi itu dilaporkan patah selepas buaiannya putus lalu menyebabkannya terhempas ke lantai pada jam 3 petang, 15 November tahun lalu.

Lebih dua minggu kemudian, iaitu 30 November 2022 dan 3 Januari lalu, mangsa mengalami sawan.

Iklan

Setibanya di klinik, doktor mengesahkan mangsa kelihatan kebiruan lalu dibawa ke Hospital Tunku Azizah, Cheras, menggunakan ambulans lalu dimasukkan ke Pusat Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU).

Bayi malang itu disahkan mengalami patah tulang selangka kanan selain mempunyai kesan gigitan pada pipi, sebelum meninggal dunia pada jam 6.22 petang, hari sama.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal.

"Semoga tertuduh belajar daripada kesilapan malah menjadi pengajaran kepada ibu bapa lain supaya tidak melakukan kecuaian ketika menjaga anak-anak," katanya.

Amirul Hakim yang tidak diwakili peguam, merayu agar hukuman dikurangkan kerana perlu menanggung isteri dan ibu bapanya.