Selangor bakal miliki lima muzium tahun depan

Iklan
Borhan (kanan) pada majlis simbolik Perasmian Pembukaan Rasmi Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor.

KUALA SELANGOR - Selangor bakal memiliki lima muzium baharu yang sedang dibina di negeri ini dalam waktu terdekat.

Exco Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan Negeri Selangor, Borhan Aman Shah berkata, lima muzium itu ialah Muzium Setem, Muzium Sukan, Muzium Tekstil dan Selangor Art Gallery dan Muzium Perlombongan Kapal Korek.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, lima muzium itu kini dalam proses pembinaan dan dijangka boleh beroperasi selewatnya tahun depan.

"Selangor Art Gallery pula ketika ini diambil alih oleh pihak JKR (Jabatan Kerja Raya) untuk kerja baik pulih dan ubah suai bangunan bank lama kepada galeri seni dengan kos RM30 juta," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pembukaan Rasmi Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor.

Iklan

Borhan memberitahu, kemajuan kerja-kerja pembinaan semua muzium itu dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini atau selewatnya pada tahun depan.

Kata beliau, muzium baharu bakal diwujudkan itu menjadi penunjuk aras kepada kerajaan Selangor dalam memulihara dan menghargai khazanah warisan di negeri ini.

Iklan

Selain itu, katanya, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) juga sedang giat melaksanakan kerja-kerja menaik taraf Muzium Sultan Alam Shah yang di jangka siap pada bulan Oktober tahun ini.

"Kerja baik pulih Muzium Sultan Alam Shah di peringkat akhir dan kita berharap ia dapat dilaksanakan dengan lancar dan kembali beroperasi," katanya.

Ditanya mengenai Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati Kuala Selangor, Borhan berkata, muzium yang dibuka pada tahun 2007 itu baharu siap dibina semula dengan kos sejumlah RM500, 000 selepas terbabit dalam kebakaran pada tahun 2011.

Jelas beliau, cadangan kerja baik pulih dimulakan pada Oktober 2014 dan diserahkan kepada JKR Selangor pada Mei 2015.

"Setelah bangunan siap maka bermulalah kerja-kerja naik taraf keperluan dan kemudahan muzium secara berperingkat mulai tahun 2016 sehingga 2021 dan pada tahun lalu kerja-kerja pengisian pameran giat dilaksanakan hingga lengkap ke hari perasmian pada hari ini," katanya.