MELAKA - Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar tingkatan empat kira-kira jam 10 malam 11 Januari lalu.
Muhammad Eizhan Shah Abdullah,19, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan dengan cara menyentuh anggota sulit remaja itu.
Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Muhammad Eizhan turut berdepan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga sebatan atas dakwaan merogol remaja sama.
Difahamkan, tertuduh yang telah berkahwin itu dikatakan mengekori remaja perempuan berkenaan sebelum bertindak menarik mangsa ke dalam bilik stor bagi melakukan perbuatan terbabit.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan kerana kesalahan dilakukan adalah serius.
Beliau mencadangkan jaminan RM50,000 jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara.
Tertuduh yang diwakili peguam, Muhamad Syah Azlan Abdullah merayu jumlah berkenaan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai seorang anak berusia setahun.
Katanya, tertuduh baharu diberhentikan kerja sebagai pembantu kedai peralatan logam selepas ditahan polis.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 serta dilarang menganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan selain menetapkan 29 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.