GEORGETOWN - Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas dalam kejadian di Kilometer 5.9 Jambatan Pulau Pinang dari arah Perai ke Georgetown.
Dalam kejadian jam 11.05 pagi mangsa, Shamsuddin Chat, 53, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki motosikal berseorangan dipercayai terlanggar bahu kiri jalan sebelum terbabas dan terjatuh sendiri ke kiri jalan.
"Mangsa yang berasal dari Taman Seri Serdang, Kepala Batas disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini.
Che Zaimani berkata, siasatan lanjut mengenai punca kejadian sedang dijalankan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.