Tiada dendam, terbuka bekerjasama dengan BN Sabah - Hajiji

Iklan
Hajiji ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani Sabah, di SICC Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor terbuka untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) Sabah dalam rundingan melibatkan kerajaan Sabah.

Ketua Menteri Sabah itu berkata, beliau tidak menaruh dendam mengenai apa yang berlaku sebelum ini malah perkara paling penting kini adalah penyatuan rakyat serta usaha untuk merancakkan lagi ekonomi di Sabah.

Iklan
Iklan

"Baguslah. Jadi ini bermakna kerajaan negeri akan bertambah kukuh dalam konsep Kerajaan Perpaduan yang dipelopori Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Itulah tujuan pemimpin-pemimpin ini fokus kepada penyatuan rakyat, perpaduan dan juga pembangunan negeri supaya aktiviti ekonomi kita bertambah rancak dan rakyat akan mendapat manfaat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Membangun Malaysia Madani Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bahawa BN Pusat menyokong kepimpinan beliau sebagai Ketua Menteri, Ahad lalu.

Ditanya adakah beliau sedia untuk bekerjasama dengan wakil daripada BN Sabah dalam perundingan dengan kerajaan Perpaduan di negeri itu, Hajiji berkata, pihaknya tiada masalah mengenai perkara itu.

Iklan

"Kita tiada masalah, yang penting ia baik untuk rakyat serta negeri Sabah. Saya terbuka dalam hal ini kerana niat saya untuk sejahterakan rakyat dan menyatupadukan rakyat selain mahu fokus kepada pembangunan negeri yang telah kita lancar dan program Sabah Maju Jaya (SMJ)," ujarnya.

Bagaimanapun, Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu memaklumkan setakat ini belum ada sebarang rundingan bersama UMNO-BN selepas kenyataan itu dikeluarkan.