KUANTAN - Wang simpanan milik dua individu berjumlah lebih RM200,000 lebur selepas menjadikan mangsa penipuan sindiket penyamaran sebagai rakan karib dan Love Scam pada Isnin.
Lelaki berusia 38 tahun dan wanita warga emas berusia 71 tahun itu masing-masing membuat laporan polis kerana terbabit dalam dua kes penipuan berbeza.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes pertama membabitkan seorang penjual sayur yang dikatakan menerima satu pesanan melalui aplikasi WhatsApp daripada individu yang menyamar sebagai kenalannya.
Menurutnya, suspek menggunakan nama dan gambar kenalannya dan mahu meminjam wang daripada mangsa.
"Akibat terlalu percaya dan ingin membantu, mangsa telah membuat 16 kali transaksi ke dalam lima akaun berlainan yang diberikan suspek.
"Susulan daripada itu, mangsa mengalami kerugian sebanyak RM125,000," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam kejadian lain, Ramli berkata, seorang balu telah terpedaya dengan kenalan di alam maya.
Jelasnya, suspek mendakwa dirinya telah mengirimkan hadiah dan meminta mangsa supaya berurusan dengan pihak penghantar barangan tersebut.
"Mangsa telah memasuki kesemua wang simpanan termasuk pencen arwah suami berjumlah RM86,000 ke dalam lima akaun berbeza yang diberikan suspek," ujarnya.
Sehubungan itu, pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sindiket penipuan penyamaran dan Love Scam.
Ramli mengingatkan masyarakat supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima dipautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.