Kerajaan timbang gubal akta baharu bagi banduan hukuman mati

Iklan
Ramkarpal - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal satu akta baharu bersifat sementara bagi banduan yang menjalani moratorium pelaksanaan hukuman mati.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, ia akan memberi impak secara terus kepada 840 banduan, yang mewakili hampir 64 peratus daripada 1,320 orang yang dijatuhkan hukuman mati.

Iklan
Iklan

"Baki 480 orang lagi akan melalui proses rayuan seperti biasa," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) tentang progres untuk menghapuskan hukuman mati di Malaysia dan status kira-kira 1300 banduan yang kini menunggu perlaksanaan hukuman mati.

Iklan

Tambah Ramkarpal, pelaksanaan dasar hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan tujuh kesalahan dengan hukuman tertakluk budi bicara mahkamah.

Ia dijangka melibatkan pindaan peruntukan dalam akta Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Akta Penculikan 1961 (Akta 365).

Iklan

"Ia dilihat lebih holistik dan inklusif demi manfaat bersama, selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya.

"Pelaksanaan polisi penghukuman dan hukuman gantian ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan serta keadilan di negara ini,” ujar beliau.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, pada ketika ini, semakan dan penelitian terhadap peruntukan akta-akta berkaitan dengan mengambil kira syor-syor daripada Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori sedang dilakukan.

"Semakan itu dibuat dengan turut mengambil pandangan kementerian atau jabatan berkepentingan sedang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara untuk memastikan penetapan dasar terbaik berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.

"Kita perlu mengambil kira aspek pemerkasaan hak asasi manusia selain mempertimbangkan kos pengurusan banduan di penjara seluruh negara serta pelaksanaan restorative justice di Malaysia," jelasnya.