Tiga maut nahas dua kenderaan di Lebuhraya SPDH

Iklan
Keadaan lokasi dan kenderaan mangsa yang remuk selepas kejadian kemalangan di KM 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Teluk Kemang pada Selasa. - Foto PDRM

PORT DICKSON - Tiga individu termasuk seorang remaja maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 20.8 Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Teluk Kemang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa yang maut membabitkan dua wanita iaitu R Mogana, 35, M Pangaja Valli, 51 dan seorang remaja lelaki S Jagannatth, 16 tahun.

Iklan
Iklan

"Kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry dinaiki enam individu berusia 16 hingga 51 tahun dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun.

"Pemandu dan penumpang kereta Toyota Camry berasal dari Ampang, Selangor dipercayai dalam perjalanan ke sebuah kuil di Batu 5 Jalan Pantai, Port Dickson manakala pemandu pacuan empat roda pula menuju ke Taman Intan Perdana di sini bagi menyiapkan projek perumahan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, kenderaan pacuan empat roda itu yang dipandu oleh kontraktor itu dipercayai telah melanggar bahagian belakang Toyota Camry menyebabkan tiga penumpang belakang maut di lokasi kejadian.

"Tiga lagi individu mengalami kecederaan parah masing-masing di bahagian badan dan tangan manakala pemandu pacuan empat roda pula mengalami cedera ringan. Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut dan proses bedah.

Iklan

"Ujian saringan alkohol dan air kencing terhadap pemandu pacuan empat roda menunjukkan dia bebas alkohol dan dadah. Dia kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.