PN cadang kerajaan gubal polisi lebih inklusif, berdaya saing

Iklan
Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) pada Selasa mencadangkan supaya kerajaan menggubal satu polisi yang lebih inklusif dan berdaya saing dengan penekanan khusus kepada penghasilan sumber manusia berkualiti tinggi.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu dapat memudahkan negara merebut peluang ekonomi yang lebih besar, seterusnya membolehkan Malaysia beralih menjadi negara berpendapatan tinggi.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, melalui pendekatan itu, negara akan memiliki generasi baharu, sumber manusia yang lebih inovatif, sekali gus bakal melahirkan lebih banyak syarikat berteraskan teknologi tinggi.

"Penekanan mestilah terarah kepada usaha menambah baik aspek peningkatan daya saing, mencipta lebih banyak peluang kerja berprestasi tinggi serta memperkasakan institusi.

Iklan

"Galakan juga perlu diberikan kepada pihak swasta menerusi insentif-insentif menarik bagi memperkasakan dan memacukan lagi agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Larut itu berpandangan insentif-insentif menarik bagi mengurangkan pekerja asing perlu ditambah baik kerana peluang kerja berprestasi tinggi mesti diisi rakyat tempatan terutamanya golongan belia.

Menyentuh soal kos sara hidup, Hamzah berkata, kerajaan perlu melakukan tindakan segera bagi menangani isu tersebut termasuk memberi perhatian kepada kebajikan veteran tentera dan polis terutama dalam aspek penyelarasan pencen.

Iklan

Sementara itu, Hamzah memohon kerajaan berhati-hati dengan perkembangan terkini mengenai ketegangan antara China dan Amerika Syarikat berhubung Laut China Selatan kerana ia boleh memberi impak kepada negara.

"Kita perlu kekal berkecuali tetapi pada masa yang sama kita perlu bijaksana dan cermat menyusun strategi agar kita tidak terlihat cenderung kepada satu-satu negara hanya kerana kita mempunyai hubungan baik dengan kelompok tertentu,” katanya.

Hamzah turut memberi jaminan blok pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang dengan menegur dan memberi pandangan secara bertanggungjawab, malah menyokong perkara baik yang dibawa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hamzah turut memuji keputusan kerajaan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye susulan bencana gempa bumi dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang tepat. - Bernama.