Pesakit bukan kes kecemasan disaran ke klinik kesihatan

Iklan
Orang awam dinasihatkan untuk mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran terlebih dahulu bagi kes-kes bukan kecemasan. Foto Ihsan Facebook.

PUTRAJAYA - Orang awam dinasihatkan untuk mendapat rawatan di klinik kesihatan berhampiran terlebih dahulu bagi kes-kes bukan kecemasan, dan memberi laluan kepada pesakit kritikal yang memerlukan rawatan segera di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya.

Dalam kenyataan pada Selasa, susulan isu kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya dibangkitkan seorang pengguna Twitter semalam (13 Februari), Pengarah Hospital Putrajaya Datuk Dr Nora'i Mohd Said berkata, ia bagi membolehkan isu kesesakan atau jumlah pesakit yang ramai di hospital berkenaan ditangani dengan baik.

Iklan
Iklan

Merujuk kepada ciapan di platform Twitter bertarikh 13 Februari itu, beliau berkata, pihak Hospital Putrajaya mengambil maklum mengenai isu kesesakan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma yang dibangkitkan oleh pemilik akaun tersebut, serta berterima kasih dan berlapang dada menerima pandangan yang dikemukakan.

Dr Nora'i berkata, pada 13 Februari, di antara pukul 11 malam hingga 1 pagi, bilangan pesakit di Zon Hijau hospital berkenaan ialah seramai 95 orang, dan jumlah keseluruhan pegawai perubatan yang bertugas ialah 13 orang.

Iklan

"Petugas lain termasuk jururawat juga bertugas pada kapasiti maksima dan para doktor serta kakitangan bergilir untuk memanggil pesakit, bagi mengelakkan pesakit menunggu lama dan memudahkan doktor mendapatkan maklumat terus daripada pesakit,” katanya.

Mengenai isu kerusi roda tidak mencukupi, Dr Nora'i berkata, pihak hospital telah menyediakan 15 kerusi roda bagi pesakit yang memerlukan, dan pesakit atau waris boleh memohon di kaunter triage yang disediakan atau mendapatkan kerusi roda tambahan di kaunter keselamatan di Lobi Utama.

"Pemantauan akan ditingkatkan bagi mengenal pasti kerusi roda yang uzur dan tidak sesuai digunakan orang awam,” katanya.

Iklan

Mengulas mengenai ruang menunggu yang terhad, Dr Nora'i berkata, ruang menunggu ada disediakan berhampiran kawasan kaunter farmasi Jabatan Kecemasan dan di dalam kawasan ruang legar di Lobi Utama.

Pengguna Twitter, Nayli Majid dalam ciapannya membangkitkan beberapa isu berkaitan situasi di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Putrajaya antaranya kekurangan doktor dan jururawat yang bertugas; jumlah pesakit yang ramai; tidak cukup tempat duduk untuk waris yang menunggu; kekurangan kerusi roda dan kerusi roda rosak. - Bernama.