28 individu hadiri parti liar ditahan positif dadah

Iklan
Ramli Yoosuf

BENTONG - Seramai 28 individu ditahan dalam parti liar di sebuah banglo di Genting Highlands pada Isnin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Yoosuf berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong melakukan serbuan di rumah terbabit pada jam 4 petang selepas menerima maklumat awam.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil serbuan, seramai 19 lelaki dan sembilan wanita berusia antara 26 hingga 48 tahun ditahan untuk siasatan.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan ujian awal saringan awal air kencing, kesemua mereka yang berkumpul di ruang tamu di banglo tersebut didapati positif dadah jenis ketamine dan amphetamine.

Iklan

"Kesemua suspek ditahan reman selama satu hingga dua hari bermula hari ini sehingga Rabu untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

Dalam pada itu, Ramli memberitahu, pihak polis tidak akan berkompromi dalam menangani isu dadah mahupun jenayah yang berlaku di bawah pentadbiran kontinjen Pahang.

"Kejayaan ini adalah hasil daripada maklumat orang awam dan pihak polis ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sentiasa peka terhadap perlakuan jenayah mahupun dadah di sekeliling mereka walaupun di tempat tersembunyi," tambahnya.