SHAH ALAM - Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PVTM) akan mengadakan perbincangan dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam masa terdekat bagi menubuhkan kesatuan yang melibatkan penggiat industri seni di seluruh negara.
Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, kesatuan itu bertujuan memperjuangkan hal ehwal kebajikan warga industri tersebut termasuk aspek pembayaran gaji.
Menurutnya, perkara itu dipandang serius pihaknya memandangkan sehingga kini isu bayaran gaji minima dalam kalangan pekerja sektor kreativiti berkenaan masih belum selesai.
"Secara tidak langsung, ada paras gaji yang lebih ideal dapat ditetapkan kepada mereka (pekerja industri) nanti,” katanya sebagai panelis dalam Wacana Sinar Edisi 384 bertajuk ‘Bantu Rakyat: Apa Nasib Pekerja Bawahan’ yang dihoskan Ismail Adnan pada Selasa.
Turut menjadi panelis pada program terbabit ialah Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan.
Dalam pada itu, Jurey turut menyuarakan isu royalti mengenai karya-karya filem atau drama yang disiarkan kepada orang ramai.
Jelasnya, ramai penggiat industri berkenaan tidak mendapat imbuhan daripada karya-karya tersebut meskipun disiarkan berulang kali di televisyen.
"Seandainya mereka mendapat bayaran royalti itu, ia dapat diberikan kepada pelakon, penulis skrip dan pekerja di belakang tadbir, jadi ia dapat membantu mereka.
"Jadi, di sini terdapat satu tanggungan sekiranya suatu masa nanti mereka sudah tidak berupaya bekerja,” ujarnya.