Tak menang tangan jual nasi berlauk RM3.50

Iklan
Hasriah (kanan) dan Nik Syamsudin menunjukkan hidangan nasi berlauk yang dijual pada harga RM3.50.

KUALA NERUS - Seorang peniaga tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan yang berkunjung ke gerainya untuk mendapatkan hidangan nasi berlauk serendah RM3.50 bagi setiap menu yang ditawarkan.

Gerai Nasi Bajet Aachik yang beroperasi berhampiran pasar raya Mydin di Gong Badak, di sini menyediakan tujuh jenis lauk iaitu ayam goreng berlada, ayam masak merah, ayam masak kicap, ikan goreng berlada, daging goreng, daging goreng 'black pepper' dan ikan masak kicap bersama kuah gulai dan sambal belacan.

Iklan
Iklan

Hasriah Athirah Mat Ariffin, 34, berkata, gerai miliknya dan suami, Nik Syamsudin Said, 43, mula beroperasi sejak 31 Oktober tahun lalu dan kini mempunyai dua pekerja.

"Waktu mula-mula buka gerai tiga bulan lalu, kami hanya berdua sebelum tambah seorang pekerja dan kebetulan seorang lagi pekerja mula bekerja pada hari ini (Selasa).

Iklan

"Sebenarnya kami tak menang tangan untuk melayani pelanggan yang ramai dalam satu-satu masa dan tak sampai hati lihat pelanggan tunggu lama untuk dapatkan makanan.

"Jadi kami ambil pekerja untuk lancarkan lagi urusan perniagaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini, pada Selasa.

Iklan

"Biasanya, kalau ada lauk dan nasi yang masih berbaki selepas waktu itu kami akan sedekahkan sahaja kepada mereka yang ada di sekitar gerai.

"Bukan apa, ia bagi mengelak pembaziran dan dalam masa yang sama memastikan kualiti terjaga. Ia perlu dihabiskan sebelum petang," ujar ibu kepada dua cahaya mata berusia lapan dan empat tahun itu.

Berkongsi cabaran berniaga makanan ketika bahan mentah mahal, Hasriah berkata, situasi itu tidak begitu dirasai kerana mereka berdua berpuas hati dengan sambutan diberikan pelanggan.

Malah katanya, di samping berniaga, mereka gembira kerana secara tidak langsung usaha yang dilakukan itu dapat menyumbang kepada masyarakat.

Hasriah (kanan) melayani pelanggan yang berkunjung ke gerainya yang beroperasi berhampiran pasar raya Mydin di Gong Badak, Kuala Nerus.

"Mungkin ada yang beranggapan jual nasi murah ini tidak boleh kaya. Betul. Nak kata senang kaya tu tidak, apa yang dikejar ialah berkat dari pekerjaan ini.

"Syukurlah, sejak berniaga, urusan yang direncanakan berjalan dengan mudah mengikut perancangan.

"Semuanya adalah aturan ALLAH SWT. Kami bersyukur kerana apa-apa perancangan pun mudah dan kadangkala berlaku benda yang kita tidak jangka. Apa yang saya niatkan untuk perniagaan ini ialah mahu bantu sesama kita dan memberikan manfaat kepada semua. Syukurlah banyak sangat yang ALLAH SWT bantu dan mempermudah urusan kami," ujarnya.

Menurut Hasriah, setiap hari dia dan suami menyediakan 10 ekor ayam, dua hingga tiga kilogram (kg) daging dan 15 hingga 20kg ikan.

"Setakat ini untuk penyediaan makanan seperti lauk pauk dan nasi, saya dan suami sahaja yang memasak.

"Mujurlah dua anak sudah terbiasa dengan pekerjaan kami sebagai tukang masak sebelum ini.

"Anak kedua saya yang berusia empat tahun itu pun dibawa bersama ketika kami menjual di gerai dan syukur sangat dia tidak banyak ragam," kongsi Hasriah.